Ajak bertumbuk di Parlimen jatuhkan imej negara

Tindakan seorang ahli Parlimen yang mengajak bertumbuk dan bergaduh di Dewan Rakyat merupakan satu perbuatan yang memalukan dan tidak mencerminkan maruah institusi tertinggi negara.
Tindakan seorang ahli Parlimen yang mengajak bertumbuk dan bergaduh di Dewan Rakyat merupakan satu perbuatan yang memalukan dan tidak mencerminkan maruah institusi tertinggi negara.
A
A
A

TINDAKAN seorang ahli Parlimen yang mengajak bertumbuk dan bergaduh di Dewan Rakyat merupakan satu perbuatan yang memalukan dan tidak mencerminkan maruah institusi tertinggi negara.

Insiden tersebut bermula dengan kekecohan apabila Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakhiri debatnya dengan pantun yang menggesa pemimpin PH, terutamanya dari DAP, meletakkan jawatan dalam kerajaan.

Chong Zhemin (PH-Kampar) dari DAP kemudian bangun untuk merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36(1), mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang tidak relevan dengan agenda perbahasan berkaitan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Ketegangan memuncak ketika itu, dengan anggota pembangkang mula menjerit beramai-ramai ke arahnya.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer juga merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36(6), yang menyatakan bahawa tiada anggota dewan boleh mengaitkan motif yang tidak wajar kepada mana-mana anggota lain.

Paling membuat Speaker hilang sabar apabila Ahli Parlimen Pendang dan Ahli Parlimen Jelutong dilihat bersemuka dan hampir bertumbuk dibelakang dewan sebelum ditenangkan ramai.

Parlimen sepatutnya menjadi medan perbahasan idea, hujah rasional dan perbincangan dasar demi kepentingan rakyat, bukannya gelanggang untuk mempertontonkan emosi tidak terkawal.

Apabila wakil rakyat bersikap sedemikian, ia bukan sahaja merosakkan imej peribadi mereka, malah mencalar reputasi seluruh institusi Parlimen di mata rakyat dan dunia.

Dalam konteks demokrasi, perbezaan pendapat adalah lumrah. Namun, ia perlu diurus dengan adab, kesopanan dan penghormatan terhadap prosedur yang telah digariskan.

Artikel Berkaitan:

Sikap suka bergaduh sehingga mengajak bertumbuk menggambarkan kelemahan dalam mengawal emosi serta kegagalan untuk mengemukakan hujah secara matang.

Ahli Parlimen dipilih untuk mewakili suara rakyat, bukannya mempamerkan kelakuan yang mengaibkan.

Sedangkan hakikatnya Malaysia adalah sebuah negara membangun dan memiliki prospek yang cerah pada masa depan.

Sewajarnya, peraturan dan kod etika Parlimen dikuatkuasakan dengan tegas terhadap mana-mana ahli yang melanggar batas, agar Dewan Rakyat kembali dihormati sebagai pusat demokrasi yang berwibawa dan berintegriti.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!