Memartabat kebudayaan

DALAM hiruk-pikuk globalisasi yang melanda tanpa mengenal sempadan, kita sering alpa bahawa kebudayaan bukan sekadar hiburan di layar perak atau konsert megah mengisi pentas kota.
Hakikatnya, makna budaya jauh lebih mendalam. Ia falsafah hidup, nilai luhur, budi bahasa, ilmu tradisional, artifak bersejarah dan cara hidup yang membentuk jati diri bangsa. Budaya bukan simbol semata-mata tetapi jiwa yang menghidupkan sebuah negara bangsa.
Namun, semakin ramai menyempitkan erti budaya kepada aspek hiburan semata-mata, seolah-olah budaya tidak lagi berpijak pada akar nilai yang luhur. Jika kita menyusuri sejarah kemerdekaan, pengorbanan dan tolak ansur ialah nilai teras yang memerdekakan tanah air.
Nilai itu bukan sahaja mendirikan negara, bahkan menyulam perpaduan dalam kepelbagaian. Ada suara yang melihat kepelbagaian budaya sebagai ancaman kepada identiti nasional.
Tetapi, bukankah kepelbagaian itulah yang menjadi wajah sebenar Malaysia? Bukan satu warna tetapi pelangi yang memantulkan satu cahaya harmoni. Perlembagaan kita lahir daripada semangat meraikan perbezaan tersebut.
Kewujudan sekolah vernakular misalnya yang sering dijadikan polemik sempit, sebenarnya lambang tolak ansur dan kepercayaan antara kaum.
Prinsip itu selari dengan konsep peaceful coexistence - hidup bersama secara aman, yang menjadi tunjang kepada masyarakat harmoni.
Memartabatkan kebudayaan bukan sekadar tuntutan moral tetapi rukun dalam membina negara bangsa yang adil dan berperikemanusiaan.
Sejarah peradaban membuktikan bangsa yang maju tetap berpaut kepada nilai budaya yang teguh. Tanpa budaya, pembangunan hanyalah batu dan besi yang kaku.
Seperti rumah besar bernama Malaysia, kita perlukan tiang seri yang kukuh – nilai budaya luhur. Tanpa tiang yang tegak, rumah akan runtuh. Tanpa budaya, negara akan rapuh. Realitinya, cabaran globalisasi bukan sekadar soal ekonomi. Ia menghakis nilai, mengikis akar budaya dan jika tidak diperkasakan, budaya kita akan tinggal sekadar nama.
Arus budaya popular yang datang tanpa tapis kadangkala mencairkan identiti sehingga generasi muda lebih mengenali budaya asing daripada warisan sendiri.
Inilah saatnya kita bertanya, adakah Malaysia masa depan akan berdiri dengan budaya kukuh atau hanyut dalam arus global tanpa jati diri? Jika kita gagal memelihara nilai, pembangunan fizikal yang gah tidak akan membawa makna.
Memartabatkan budaya tidak boleh dibiarkan sebagai slogan. Ia memerlukan dasar konkrit dan pelan tindakan strategik. Beberapa langkah penting harus dipertimbangkan.
Menggubal dasar kebudayaan menyeluruh – sebuah dasar yang bukan sekadar memelihara warisan tetapi mengangkat budaya sebagai asas ketamadunan baharu, meliputi pendidikan, media, seni dan teknologi.
Menjadikan budaya agenda strategik negara – kebudayaan mesti diangkat setaraf pembangunan ekonomi dan teknologi. Ia bukan sektor sampingan tetapi sektor utama pembinaan negara.
Menubuhkan kementerian ke-budayaan yang berdiri sendiri – selama ini kebudayaan sering digabungkan dengan kementerian lain, menyebabkan fokusnya terpinggir oleh isu ekonomi.
Mengintegrasikan nilai budaya dalam pendidikan – bukan hanya pada subjek Sejarah tetapi melalui aktiviti harian, teknologi digital dan platform kreatif. Anak muda harus melihat budaya bukan sebagai beban tetapi gaya hidup moden.
Menggalakkan diplomasi budaya – dalam dunia global, budaya ialah kuasa lembut (soft power). Seni, bahasa dan warisan boleh menjadi jambatan diplomasi yang mengangkat imej Malaysia di mata dunia.
Akhirnya, ukuran sebenar sebuah negara bukan pada tingginya bangunan tetapi tingginya nilai budaya. Peradaban yang agung bukan sahaja dibina dengan batu dan besi, tetapi dengan akal budi, roh serta nilai yang hidup dalam masyarakat.
Jika kita benar-benar menghayati nilai budaya, kita bukan sahaja memelihara warisan tetapi juga membina masa depan yang adil, sejahtera dan berperadaban tinggi. Kerana akhirnya, negara ini hanya akan kekal teguh jika tiang serinya berdiri kukuh, dan tiang itu bernama budaya.
* Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

