Gaduh bola sepak berakhir dengan jabat tangan di mahkamah
Insiden rusuhan ketika separuh masa kedua perlawanan bola sepak Liga Integriti Hilir Perak 2025.

TELUK INTAN - Insiden pergaduhan bola sepak di Padang Speedy, Teluk Intan minggu lalu berakhir dengan perdamaian di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Khamis apabila empat pemain terlibat saling berjabat tangan dan bermaafan.
Harith Nazreen Shah Abd Ghani, 21; Muhammad Danial Asmawi, 23; R Tharmaraj, 28; dan E Paranitharan, 29, masing-masing daripada dua pasukan berbeza, menghulurkan tangan tanda perselisihan faham sudah berlalu.
Mereka sebelum itu mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan gaduh gempar bersama seorang yang masih bebas sehingga mengganggu ketenteraman awam antara jam 5.15 petang hingga 6 petang pada 7 Ogos lalu.
Majistret Naidatul Athirah Azman memerintahkan keempat-empat tertuduh yang masih bujang itu menyempurnakan bon menjaga keamanan selama enam bulan mengikut Seksyen 66 Kanun Prosedur Jenayah dengan seorang penjamin dan cagaran RM500.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira video pergaduhan yang telah tular selain sebagai pengajaran kepada orang ramai agar tidak melakukan pergaduhan dalam perlawanan bola sepak.
Bagaimanapun, Peguam M Saravanan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Harith Nazreen Shah dan Muhammad Danial memohon satu hukuman ringan memandangkan salah seorang anak guamnya sedang menunggu keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Peguam Charan Singh dan S Morgan yang mewakili dua lagi tertuduh memohon mahkamah memberikan satu peluang kepada mereka memandangkan ia adalah kesalahan pertama dan kes berkenaan adalah kes saman, bukan jenayah.
"Mereka telah insaf atas kesalahan dilakukan. Mereka juga telah berkawan, berjabat tangan menunjukkan teladan yang baik kepada mahkamah ini," kata Charan Singh.
Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Muhamad Kuzairin Kamaruddin, 31, turut mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pengadil perlawanan, Muhammad Syaffiq Syazwan Baharom pada tarikh, masa dan lokasi sama.
Mahkamah mengenakan denda RM600 atau penjara dua bulan jika gagal membayar.
Kesalahan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Media sebelum ini melaporkan, berlaku insiden rusuhan ketika separuh masa kedua perlawanan bola sepak Liga Integriti Hilir Perak 2025 membabitkan dua pasukan iaitu Padang Tembak FC dan Jenderata FC.
Insiden kekasaran bermula apabila seorang pemain melakukan takel keras terhadap pemain lawan yang seterusnya mencetuskan pertelingkahan dan pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin mengesahkan telah menahan tujuh suspek terlibat membabitkan pengurus pasukan serta pemain kedua-dua pasukan yang dikesan berdasarkan rakaman video tular dan nombor jersi dipakai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

