Langkah berani KPM – Guru merokok, vape di kawasan sekolah bakal didakwa

Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai guru merokok dan menghisap vape di dalam sekolah boleh didenda RM10,000 dan dipenjara.
Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai guru merokok dan menghisap vape di dalam sekolah boleh didenda RM10,000 dan dipenjara.
A
A
A

PADA Selasa, kerajaan memaklumkan bahawa guru yang didapati merokok atau menggunakan rokok elektronik (vape) dalam pekarangan sekolah boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan guru yang menghisap vape, terutamanya di hadapan murid, kerana ia jelas melanggar Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan peranan mereka sebagai teladan sahsiah.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan tindakan diambil untuk mengekang penggunaan vape dalam kalangan pelajar, khususnya apabila terdapat dakwaan segelintir guru turut menggunakan vape secara terbuka sehingga memberi contoh negatif kepada murid dan menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan.

Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan KPM juga sedang meminda Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) dengan memasukkan subperaturan larangan merokok, termasuk apa-apa jenis rokok, perkakasan, alat elektronik dan cecair bagi vape.

Tindakan tegas KPM melarang guru merokok atau menggunakan rokok elektronik di kawasan sekolah memberi isyarat jelas bahawa institusi pendidikan bukan sekadar pusat pembelajaran akademik, tetapi juga medan pembentukan sahsiah dan teladan moral.

Larangan tersebut menghantar mesej positif kepada pelajar bahawa tabiat merokok atau vaping bukanlah sesuatu yang normal atau diterima.

Ia sekali gus mengurangkan normalisasi budaya merokok dalam kalangan generasi muda.

Dalam pada itu, larangan berkenaan juga dapat meningkatkan kredibiliti dan integriti sesebuah sekolah di mata ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa.

Pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) yang bakal memasukkan larangan merokok dan penggunaan vape mencipta garis panduan yang jelas bukan sahaja untuk pelajar, tetapi juga guru.

Artikel Berkaitan:

Tentunya, situasi berkenaan dijangka membina budaya sekolah yang konsisten, di mana semua pihak mematuhi standard yang sama tanpa pengecualian.

Langkah kerajaan itu bukan sekadar soal menghukum guru yang melanggar undang-undang, tetapi satu usaha holistik untuk memelihara integriti institusi pendidikan, membentuk persekitaran pembelajaran yang sihat, dan melahirkan generasi bebas daripada pengaruh tabiat merokok.

Penguatkuasaan tegas ini mampu menjadi titik tolak ke arah budaya sekolah yang lebih sihat, berdisiplin dan dihormati masyarakat.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!