Langsungkan perkahwinan selepas bunuh rakan sekerja

Suspek (kiri) kini sudah ditahan. Foto Agensi
Suspek (kiri) kini sudah ditahan. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA – Seorang wanita yang juga kakitangan Biro Pusat Statistik (BPS) Halmahera Timur (Haltim), Maluku Utara, ditemui maut di kediaman rasminya selepas dipercayai dibunuh rakan sekerja sendiri, bulan lalu.

Mangsa dikenali sebagai KLP atau Tiwi, 30, manakala suspek, Aditya Hanafi, 27, turut bekerja di BPS Haltim.

Ketua Polis Maba Selatan, Inspektor Polis Daerah (Ipda) Habiem Ramadya berkata, suspek mengaku membunuh mangsa pada 19 Julai lalu sekitar jam 5.22 pagi waktu tempatan.

“Selepas membunuh mangsa, suspek meninggalkan mayat di lokasi kejadian sebelum berangkat ke Ternate bagi melangsungkan majlis perkahwinannya,” katanya kepada pemberita pada Isnin lalu.

Difahamkan, Aditya berkahwin pada 27 Julai dengan seorang lagi kakitangan BPS Haltim, Almira Fajriyanti Marsaoly, yang merupakan rakan serumah mangsa.

Siasatan mendapati pembunuhan berpunca daripada permintaan suspek untuk meminjam wang bagi membayar hutang dan membiayai perjudian dalam talian. Mangsa bagaimanapun enggan meminjamkan wang tersebut.

Mangsa tinggal di kediaman rasmi BPS di Kota Maba bersama Almira namun tidak sebilik. Ketika kejadian, Almira berada di Ternate kerana cuti perkahwinan.

Menurut polis, suspek yang memiliki kunci pendua kediaman itu dipercayai menyelinap masuk pada 16 Julai dan bersembunyi di bilik Almira sehingga 18 Julai sebelum menyerang mangsa keesokan paginya.

“Dia menutup mulut mangsa, mengikat tangan dan melakukan serangan seksual. Suspek memaksa mangsa menyerahkan nombor PIN akaun bank sebelum membunuhnya dengan menggunakan bantal hingga mangsa lemas dan meninggal dunia,” kata Habiem.

Artikel Berkaitan:

Suspek kemudian mengeluarkan wang sebanyak 39 juta rupiah (RM11,255) dari akaun mangsa dan memohon pinjaman atas nama mangsa bernilai 50 juta rupiah (RM14,480).

Polis sudah mengeluarkan saman terhadap Almira untuk diambil keterangan, namun sehingga kini dia belum tampil.

“Kami mengeluarkan saman pada 7 Ogos, tetapi sehingga hari ini saksi masih gagal hadir, suspek pula kini sudah ditahan pihak kami," jelas Habiem.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!