Trauma lihat bumbung terangkat

TAIPING - Kejadian ribut yang merosakkan 33 rumah di tiga kawasan dalam Parlimen Bukit Gantang, Jumaat lalu menyebabkan seorang lelaki warga emas trauma setelah rumahnya rosak sekelip mata.
Abd Rahim Abd Rahman, 68, berkata, kejadian sekitar jam 4 petang itu menyebabkan sebahagian bumbung rumahnya di Kampung Kurnia Jaya di sini, diterbangkan angin.
"Setiap kali terdengar bunyi angin, hati risau kerana masih teringat melihat bumbung terangkat diterbangkan angin.
"Ketika kejadian saya tinggal sendirian hanya berlindung di tepi dinding kerana hujan lebat serta kilat. Memang trauma bila diingatkan," katanya selepas menerima lawatan daripada Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di sini pada Selasa.

Menurut Abd Rahim, kejadian kedua itu disifatkan paling teruk dialaminya selain menanggung kerugian lebih RM2,000.
Kejadian itu juga turut menjejaskan sebuah Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Kampung Rahmat di sini.
Guru KEMAS, Nor Fazirah Mohd Mahayuddin berkata, kelengkapan pembelajaran dan perabot milik anak-anak rosak terkena air hujan.
"Tabika kami menumpang di bangunan dewan orang ramai yang mana kami berada di tingkat bawah.
"Ketika kejadian, bumbung bangunan diterbangkan angin dan dinding papan juga tercabut menyebabkan air hujan mengalir ke kelas," katanya.
Katanya, kini 21 murid diberikan cuti dan sebahagian mereka ada menjalani latihan nasyid di surau berhampiran.
Sementara itu, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, keluarga terlibat telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM500 bagi meringankan beban.
Katanya, sebanyak 22 rumah di Kampung Kurnia Jaya, Kampung Rahmat (7) dan lima rumah di Taman Kamunting Bakti terjejas dalam kejadian itu.
"Bantuan segera dihulurkan bagi meringankan beban dengan mendahulukan peruntukan sendiri sementara mangsa diminta membuat laporan polis bagi proses bantuan.
"Kerja-kerja membaik pulih bumbung rumah penduduk pula dilakukan secara bergotong-royong.
"Kekerapan kejadian ribut menyebabkan bekalan bumbung habis digunakan dan kita telah tempah bekalan baru untuk bantu mangsa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
