Jalur Gemilang terbalik: MP PN saran kerajaan audit agensi kerajaan, sekolah

DR HALIMAH
DR HALIMAH
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran melaksanakan audit terhadap pemasangan Jalur Gemilang di semua agensi kerajaan dan sekolah berikutan beberapa kesilapan melibatkan bendera negara yang mencetuskan kritikan ramai.

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, beliau kecewa dengan keadaan yang berlaku itu apatah lagi situasi berkenaan sudah berlaku berulang kali.

“Bendera Malaysia sangat jelas susun aturnya, bulan di mana, bintang di mana. Tiada alasan (untuk dipasang) terbalik. Isu bendera terbalik ini berulang-ulang (berlaku).

“Auditlah semua jabatan dan agensi kerajaan termasuk sekolah yang dibiayai oleh kerajaan. Perlu ambil tindakan tegas yang bermakna,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dr Halimah turut berkongsi pengalamannya ketika melawat China kerana masalah pemasangan bendera terbalik tidak berlaku di negara berkenaan.

Beliau berkata, China tidak berdepan masalah seperti itu ekoran adanya Undang-undang Bendera Kebangsaan 1990.

“Saya baru balik dari China, saya tengok tiada satu pun bendera yang dipasang terbalik. Berapakah kes pemasangan bendera secara terbalik di Malaysia yang telah diambil tindakan di bawah Akta 414, yakni Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 atau mana-mana akta berkaitan?” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!