[VIDEO] Pembangkang cadang hadkan kuasa budi bicara Speaker Parlimen, DUN

A
A
A

KUALA LUMPUR – Pembangkang mencadangkan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan kuasa budi bicara Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menentukan kedudukan wakil rakyat yang mengalihkan sokongan.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan juga perlu mengembalikan kuasa tafsiran undang-undang berkaitan penentuan status kekosongan kerusi Parlimen dan DUN kepada mahkamah.

“Untuk keluar daripada segala kecelaruan tentang tafsiran Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, saya mencadangkan kerajaan hari ini, atau kerajaan akan datang jika berlaku perubahan, segera membuat pindaan peruntukan itu.

“Pindaan ini bertujuan mengehadkan kuasa budi bicara Speaker, seterusnya mengembalikan kuasa tafsiran undang-undang berkaitan penentuan status kekosongan kerusi Parlimen dan DUN kepada mahkamah.

“Ia sebagaimana mahkamah diberi kuasa memutuskan isu melibatkan proses dan keputusan pilihan raya melalui petisyen di Mahkamah Pilihan Raya,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu membangkitkan perkara berkenaan susulan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, minggu lalu yang memutuskan enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih kekal di blok pembangkang.

Takiyuddin Hassan. Foto Bernama
Takiyuddin Hassan. Foto Bernama

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Artikel Berkaitan:

Johari dilapor berkata, tiada maklumat secara hitam putih diterima daripada enam bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berhubung status mereka yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri untuk meninggalkan blok pembangkang.

Katanya, isu tersebut sudah dimuktamadkan dan dipandu mengikut lunas Perlembagaan serta peraturan mesyuarat.

Takiyuddin mendakwa kegagalan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Ahli Parlimen itu atas alasan tafsiran undang-undang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan undang-undang antilompat parti.

“Ia juga bercanggah dengan hak parti politik ke atas status keahlian anggotanya sendiri, selain hak demokratik pengundi terhadap tindak-tanduk dan orientasi politik calon yang mereka pilih.

“Hakikatnya, kita perlu akui Speaker Dewan Rakyat merupakan lantikan politik dan ahli parti kerajaan sudah tentu akan mencari jalan serta alasan untuk menyatakan keputusannya itu benar, namun mengukuhkan lagi tanggapan berat sebelah dalam keputusan budi bicaranya,” dakwanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!