'Suami kata ini yang terakhir tunggang motosikal'

MELAKA – “Suami kata sekali ini dia naik motor, namun tak sangka itu kali terakhir saya melihatnya sebelum menerima berita sedih ini.”
Demikian kata Norliana Mohd Ali, 31, isteri kepada mangsa kemalangan maut akibat terlanggar dahan pokok di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Kandang, awal pagi Selasa.
Norliana yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Muar berkata, arwah suaminya, Muhammad Fauzy Borhan, 33, sudah lama tidak menunggang motosikal dan lebih gemar menggunakan kereta untuk ke mana-mana.

Menurutnya, malam sebelum kejadian, arwah menyatakan hasrat untuk bertemu rakannya di Semabok.
Namun dia berat hati membenarkan suaminya menunggang motosikal.
“Saya cuba larang, tapi dia beritahu kali ini sahaja, dan akhirnya saya izinkan dia pergi.
“Tapi tak sangka pagi tadi saya terima khabar duka ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka pada Selasa.
Tambahnya, arwah juga bertemu adiknya dari Bakri di Sebatu, Merlimau sebelum mereka berdua menunggang motosikal secara berasingan menghala ke bandar Melaka.
“Mereka memang rapat, malah lima beradik sangat akrab, dan selalu bersama termasuk dalam kerja-kerja kontraktor yang mereka lakukan bersama,” kata ibu kepada tiga anak berusia 5, 2 dan enam bulan itu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tragedi menyayat hati menimpa dua beradik apabila motosikal mereka terlanggar dahan pokok patah yang melintang di tengah jalan di Lebuh AMJ berhampiran Kandang.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi, mengakibatkan Muhammad Fauzy, 33, maut di tempat kejadian, manakala adiknya, Muhammad Naim, 30, mengalami kecederaan serius di kepala dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Tampin menuju ke Muar, Johor, masing-masing menunggang motosikal Yamaha NVX dan Yamaha Y15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

