Anggota pasukan beruniform direman kemuka tuntutan palsu RM55,000

SEREMBAN - Seorang anggota pasukan beruniform direman empat hari kerana disyaki bersubahat mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu melibatkan tuntutan bayaran kad kredit syarikat bagi tempahan hotel berjumlah kira-kira RM55,000 untuk kepentingan peribadi.
Perintah reman sehingga 15 Ogos ini dikeluarkan oleh Majistret Saiful Sayoti selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga anggota pasukan beruniform disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut bersama seorang kerani sebuah syarikat pelancongan di ibu negara yang telah direman pada 16 Julai lalu.
“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu dari Mac 2023 hingga Februari 2024 dengan mengemukakan dokumen tuntutan bayaran kad kredit syarikat yang mengandungi butiran palsu bagi tempahan hotel atas urusan rasmi syarikat untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

