Isteri doktor, dua anak lelaki di Kelantan disambung reman kes miliki dadah 35kg, pistol

KOTA BHARU – Isteri seorang doktor dan dua anak lelaki mereka disambung reman selama enam hari berhubung penemuan 35 kilogram (kg) ganja mampat dan sepucuk pistol di sebuah banglo di Ketereh, Selasa lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Mereka sebelum ini ditahan pada 5 Ogos lalu dan direman pertama kali selama tujuh hari yang berakhir pada Selasa.
Wanita berusia 46 tahun itu bersama dua anak lelaki mereka berusia 23 dan 34 tahun tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.45 pagi sambil dikawal ketat anggota polis.

Sebelum ini, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan menyerbu banglo berkenaan pada jam 4.30 pagi dan menemukan dadah dipercayai diseludup dari Thailand yang disimpan di dalam kotak serta beg di banglo tersebut.
Selain ganja dan pistol jenis Glock itu, turut dirampas 16 butir peluru serta empat kenderaan mewah termasuk BMW dan Mercedes-Benz dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM420,000.
Pada sidang akhbar Ahad lalu, polis memaklumkan bahawa wanita terbabit adalah suri rumah dan juga isteri kepada doktor berusia 60-an yang agak terkenal di Kelantan serta memiliki klinik di Ketereh, manakala dua anak lelaki mereka bekerja di klinik tersebut.
Hasil ujian air kencing mendapati dua suspek lelaki positif methamphetamine dan ketamin, namun suspek wanita negatif.
Dalam kes ini, suspek wanita juga dikatakan mengetahui anak mereka terbabit dengan pengedaran dadah.
Doktor berkenaan yang tiada di rumah ketika serbuan telah diambil keterangan dan mendakwa tidak mengetahui kegiatan jenayah yang berlaku di kediamannya.
Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran dalam serta luar Kelantan.
Ketua kumpulan pengedaran dadah yang dikaitkan dengan kes ini dilaporkan telah dipenjara sejak 2023, namun kegiatan jenayah didakwa diteruskan oleh ahli keluarga terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan perintah sambung reman terbabit.
“Perintah sambung reman terhadap ketiga-tiga suspek berkuat kuasa bermula pada Rabu hingga Isnin ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

