Kes miliki dadah 35kg, pistol: Keluarga doktor di Kelantan tiba di mahkamah

KOTA BHARU – Salah seorang suspek lelaki anak kepada doktor kes dadah 35 kilogram (kg) ganja mampat dan pistol sempat menyapa media dengan ucapan ringkas “morning everyone” ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa untuk disambung reman.
Suspek yang berusia 23 tahun itu menyapa petugas berita ketika dia berjalan menuju ke lokap mahkamah sambil dikawal ketat anggota polis.
Dia bersama abangnya berusia 34 tahun dan ibu mereka, 46 tahun mengenakan baju lokap berwarna jingga tiba, di pekarangan mahkamah itu pada jam 8.45 pagi menggunakan kenderaan black maria.

Mereka ditahan dalam serbuan polis di sebuah banglo pada 5 Ogos lalu dan merupakan ahli keluarga seorang doktor terkenal berusia 60-an di Ketereh.
Serbuan kira-kira jam 4.30 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan yang menemui ganja berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand dan disimpan di dalam kotak serta beg di banglo berkenaan.
Selain ganja dan pistol jenis Glock, turut dirampas 16 butir peluru serta empat kenderaan mewah termasuk BMW dan Mercedes Benz dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM420,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini mengesahkan dua suspek lelaki itu positif methamphetamine dan ketamin, manakala suspek wanita negatif.
Doktor yang merupakan pemilik klinik terkenal di Ketereh sudah diambil keterangan dan mendakwa tidak mengetahui kegiatan jenayah di kediamannya.
Kesemua suspek sebelum ini direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu.
Proses sambung reman ketika ini sedang berjalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

