40 peserta sertai kelas affiliate TikTok, 'Tidur Pun Income Masuk'

SHAH ALAM – Seramai 40 ahli kariah Masjid Bandar Bukit Raja (MBBR) menyertai kelas offline pertama anjuran Karangkraf bersama komuniti luar bagi mempromosikan peluang menjadi affiliate TikTok secara strategik.
Eksekutif E-Dagang Karangkraf, Nurul Khalidah Kamarulzailan berkata, program yang berlangsung pada Ahad lalu itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang cara menjana pendapatan pasif melalui platform TikTok khususnya menerusi program affiliate.
“Golongan sasaran termasuk pelajar, suri rumah dan pesara, memandangkan kini semakin ramai termasuk golongan pak cik dan mak cik aktif menggunakan TikTok.
“Peserta bukan sahaja didedahkan kepada konsep asas affiliate malah mereka turut diperlihatkan langkah demi langkah bagaimana peluang ini boleh menjadi sumber pendapatan walaupun ketika sedang tidur,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Nurul Khalidah, program yang dianjurkan bersama Grup Buku Karangkraf dan Biro Hal Ehwal Wanita MBBR itu sangat membantu peserta memahami dengan jelas hala tuju dan cara affiliate berfungsi.

Ujarnya, program bertemakan Affiliate TikTok: Tidur Pun Income Masuk itu selari dengan matlamat membimbing peserta memanfaatkan platform digital demi menjana pendapatan tambahan secara beretika dan berkesan.
“Apa yang lebih menarik, ini adalah komuniti masjid pertama yang menganjurkan kelas seperti ini dan kami mengalu-alukan mana-mana komuniti lain untuk bekerjasama mengadakan program seumpama ini.
“Semoga semua peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh untuk menjalankan program affiliate tersebut sekali gus menambah sumber kewangan masing-masing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

