Tiada campur tangan dalam pemilihan jawatankuasa kariah masjid di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memberi jaminan bahawa tiada sebarang campur tangan tidak wajar akan berlaku dalam proses pemilihan jawatankuasa kariah masjid di negeri ini bagi sesi 2026–2028.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid menegaskan bahawa pemilihan tersebut akan dijalankan secara telus mengikut tatacara yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
“Kerajaan negeri memberi jaminan penuh bahawa proses pemilihan jawatankuasa kariah masjid akan bebas daripada sebarang campur tangan yang tidak wajar.
"Pencalonan dibuat secara demokratik dengan kehadiran ahli kariah dalam mesyuarat agung pencalonan,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Rabu.
Mohamad (PKR-Batu Maung) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Mohd Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) mengenai proses pemilihan pengerusi dan jawatankuasa masjid di Pulau Pinang oleh anak kariah.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pencalonan bagi jawatan dalam jawatankuasa kariah perlu dicadangkan oleh seorang pencadang dan disokong oleh sekurang-kurangnya seorang penyokong yang ditentukan oleh ahli-ahli kariah dalam mesyuarat berkenaan.
“Selain itu, antara syarat pencalonan ialah calon mesti menetap dalam kariah masjid berkenaan sekurang-kurangnya tiga bulan dan hadir ke mesyuarat pencalonan.
“Tatacara pencalonan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 104(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2023 yang memperuntukkan bahawa MAINPP, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, boleh menetapkan peraturan berhubung penubuhan dan pelantikan jawatankuasa kariah,” jelasnya.
Beliau berkata, tatacara itu telah diluluskan dalam Mesyuarat MAINPP Bil. 11/2024 (Kali Ke-259) pada 18 November 2024 dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2 Disember 2024.
Sementara itu, Mohamad berkata, MAINPP turut meluluskan penstrukturan semula jawatankuasa pengurusan Masjid Negeri Pulau Pinang dan masjid-masjid daerah dalam Mesyuarat Bil. 9/2024 pada 30 September 2024.
“Melalui penstrukturan baharu itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dilantik sebagai Pengerusi Masjid Negeri, manakala Pegawai Tadbir Agama Daerah pula dilantik mengetuai masjid-masjid daerah.
“Ahli jawatankuasa lain terdiri daripada wakil agensi kerajaan seperti polis, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pendidikan, Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan serta wakil-wakil surau dalam kariah masing-masing.
“Langkah ini diharap dapat memperkukuh pentadbiran masjid dan mempererat perpaduan umat Islam di peringkat kariah seluruh negeri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

