Ancaman senyap industri sawit

INDUSTRI sawit Malaysia kini berada di persimpangan kritikal apabila semakin banyak pokok sawit melebihi usia produktif.
Menurut kajian, pokok sawit memerlukan empat hingga lima tahun untuk matang dan biasanya berada di puncak hasil antara 20 hingga 25 tahun sebelum produktiviti menurun.
Apabila sebahagian besar kawasan ditanami pokok yang sudah melebihi umur optimum, jumlah tandan buah segar (BTS) per hektar merosot dan kos operasi meningkat, sekali gus menjejaskan pendapatan pekebun kecil serta daya saing negara.
Fenomena itu diburukkan lagi apabila banyak pengusahanya sendiri berada pada kelompok umur yang lanjut dan enggan ambil risiko kehilangan pendapatan semasa tempoh penanaman semula perlu dijalankan.
Justeru, perkara tersebut boleh memberi kesan buruk terhadap kelestarian bekalan minyak sawit negara kerana kelewatan penanaman semula akan mengurangkan hasil keseluruhan ladang dalam jangka sederhana dan panjang.
Jika trend ini berterusan, Malaysia berisiko kehilangan kedudukan antara pengeksport utama dunia, malah terdedah kepada saingan negara pengeluar baharu yang lebih agresif melaksanakan program penanaman semula dan inovasi teknologi.
Menurut laporan Reuters, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan bahawa kadar penanaman semula Malaysia pada tahun lalu hanya sekitar dua peratus berbanding sasaran kerajaan empat peratus.
Jurang tersebut menunjukkan pembiayaan dan mekanisme insentif yang lebih efektif amat diperlukan.
Implikasinya di peringkat global juga membimbangkan apabila penghantaran eksport gabungan Malaysia dan Indonesia dijangka merosot sehingga 20 peratus menjelang 2030 tanpa pelaburan dan pembaharuan segera.
Pada masa sama, pertumbuhan pengeluaran dunia diunjurkan hanya sekitar 1.5 peratus setahun berbanding keperluan minimum dua peratus untuk memenuhi permintaan pasaran.
Senario ini memaksa kerajaan dan pemain industri menilai semula pendekatan sokongan kepada pekebun kecil serta langkah strategik untuk memulihkan bekalan jangka panjang.
Pertama, subsidi penuh atau bantuan pendapatan sementara semasa tempoh tanpa hasil perlu dipertimbangkan bagi pekebun yang layak, bukan sekadar geran separuh kos supaya mereka tidak terpaksa menangguh penanaman semula.
Kedua, mekanisme insentif berasaskan prestasi seperti bonus tambahan untuk kelompok yang melebihi kadar penanaman semula ditetapkan akan mendorong pelaksanaan segera dan meningkatkan kadar penggantian pokok tua.
Ketiga, pembiayaan mikro dan pembiayaan koperasi bersama kemudahan pinjaman mudah harus diperluas supaya pekebun kecil mendapat modal tanpa terjerat dengan beban hutang yang tinggi.
Seterusnya, pelaburan dalam benih bermutu tinggi akan memendekkan tempoh pulangan serta meningkatkan hasil purata.
Kelima, usaha mempercepatkan mekanisasi dan penggunaan teknologi ladang pintar perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh serta meningkatkan kecekapan penuaian dan pengurusan tanah.
Program latihan vokasional dan insentif juga wajar digerakkan bagi menarik minat generasi muda kembali ke sektor pertanian termasuk skim usaha sama dengan institusi pengajian tinggi serta sektor swasta.
Pelan nasional penanaman semula secara komprehensif turut memerlukan sokongan peruntukan berterusan seperti cadangan RM1.4 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030, dengan pemantauan rapi bagi memastikan dana sampai kepada golongan sasaran.
Kerjasama antara kerajaan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), institusi kewangan, sektor swasta dan komuniti pekebun juga menjadi kunci kepada kelestarian industri.
Tanpa intervensi berterusan, struktur pokok tua dan demografi petani yang semakin berusia boleh menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport utama dalam tempoh sedekad akan datang.
Pendekatan holistik, inklusif dan berorientasikan hasil akan memulihkan produktiviti, melindungi pendapatan pekebun kecil serta memastikan bekalan minyak sawit yang mampan bagi pasaran global.
Tindakan segera diperlukan kerana setiap tahun kelewatan bakal meningkatkan kos pemulihan, menjejaskan keupayaan eksport serta memberi peluang kepada pesaing agresif menguasai pasaran global sekali gus mengancam ekonomi luar bandar.
* Nurul Nabila Ahmad Halimy ialah Wartawan Bisnes Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
