Lima tahun terajui HRD Corp, Shahul Hameed undur diri secara rasmi

SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Shahul Hameed Shaik Dawood secara rasmi menamatkan tugas beliau selepas lima tahun menerajui agensi kerajaan itu.
Menerusi satu kenyataan, beliau meluahkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan agensi berkenaan yang disifatkan bukan sahaja menepati misi asal malah telah melangkaui jangkaan dari segi impak dan pencapaian.
“Saya mengambil peranan ini dengan misi jelas untuk meletakkan HRD Corp sebagai pemacu strategik pembangunan modal insan negara.
“Hari ini, saya tinggalkan organisasi dengan rasa bangga kerana misi itu bukan sahaja tercapai malah mencapai sasaran yang tidak pernah saya bayangkan,” katanya.
Menurut Shahul Hameed, antara pencapaian utama sepanjang tempoh kepimpinannya termasuklah kejayaan meningkatkan aset di bawah pengurusan HRD Corp melebih RM4 bilion pada 2024, mencatat peningkatan sebanyak 101 peratus berbanding 2020.
Selain itu, kutipan levi mencecah RM2.32 bilion manakala kelulusan geran mencapai RM2.28 bilion dengan kadar penggunaan sebanyak 98 peratus sekali gus mencerminkan kecekapan pengurusan dana.
Agensi itu turut mencatat sejarah apabila dipilih sebagai tuan rumah ASEAN Years of Skills 2024 yang memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju pembangunan tenaga kerja di rantau ini.
“Organisasi ini juga berjaya melaksanakan transformasi digital secara menyeluruh tidak hanya mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan malah meningkatkan pengalaman pengguna secara signifikan.
“Sepanjang lima tahun ini, kami turut melaksanakan penambahbaikan dasar dan memperluas penglibatan industri secara proaktif bagi memperkukuh keseluruhan ekosistem negara,” katanya lagi.
Shahul Hameed menegaskan, bahawa pencapaian tersebut bukan sekadar kejayaan operasi tetapi mencerminkan perubahan menyeluruh melalui inovasi digital, pengaruh dasar, kerjasama pihak berkepentingan serta kecemerlangan prestasi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan di dalam dan luar negara atas sokongan padu sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Saya amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk memimpin transformasi ini dan membentuk sebuah institusi masa depan yang berdaya tahan dan terus komited kepada pembangunan rakyat Malaysia.
“Terima kasih kerana memberi kepercayaan untuk saya memimpin, berkhidmat dan membina bersama,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

