'Tempoh lima tahun tuai hasil'

Hannah (empat kanan) dan Mohd Sumali (lima kiri) ketika melancarkan NSTDP di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
Hannah (empat kanan) dan Mohd Sumali (lima kiri) ketika melancarkan NSTDP di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) meletakkan tempoh tiga hingga lima tahun bagi menuai hasil Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) selepas dilancarkan pada Isnin.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, program tersebut menjadi titik permulaan yang penting bagi melahirkan lebih ramai pemain sepak takraw negara bertaraf dunia pada masa akan datang.

Malah katanya, ia juga menjadi lembaran baharu buat sukan tradisi itu menerusi matlamat memperkukuh pembangunan bakat bermula dari peringkat akar umbi, sekali gus memperkasakan ekosistemnya secara menyeluruh.

"Harapan saya dalam jangka masa panjang adalah dalam tempoh tiga atau lima tahun lagi, kita akan memiliki kumpulan pemain yang besar, berbakat serta bertaraf dunia.

"Jika boleh, sampai ke tahap jurulatih pun sukar memilih pemain kerana terlalu ramai yang berkualiti.

"Sebagai contoh, mungkin kita ada lapan hingga 10 tekong yang bertaraf dunia seperti Syahir (Rosdi). Itu yang kita impikan, dan ini adalah langkah pertama ke arah itu. Bukan mudah, tetapi ia tidak mustahil," katanya.

Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sekali gus menyaksikan sepak takraw mencipta sejarah menyertai empat lagi sukan - bola sepak, badminton, ragbi dan bola jaring - yang terlebih dahulu mempunyai program pembangunan negara (NDP) tersendiri.

Sumali menjelaskan bahawa kejayaan program itu bukan bergantung kepada persatuan semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan penglibatan menyeluruh di semua peringkat termasuk kampung, sekolah dan daerah.

Katanya, NSTDP bukan sekadar program pembangunan, tetapi ia adalah komitmen bersama antara kerajaan, PSM, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negeri serta semua pihak berkepentingan.

Artikel Berkaitan:

"Ia bagi memastikan Malaysia terus unggul secara saintifik, sistematik dan mampan dalam sukan ini," katanya.

Bagi menjayakan NSTDP, PSM turut menerima peruntukan dana sebanyak RM1.5 juta setahun.

PSM sebelum ini turut memperoleh durian runtuh apabila Stadium Jalan Raja Muda (SJRM) di Kampung Baru diiktiraf sebagai Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!