Bongkah batu jatuh dari lereng bukit, pengguna jalan diminta berhati-hati

GEORGE TOWN - Sebuah bongkah batu bersaiz kira-kira 1.22 meter x 0.91 meter dilaporkan terjatuh dari lereng bukit ke atas jalan raya di Kilometer 1.0, Jalan Tun Sardon dari arah Balik Pulau menuju ke Paya Terubong pada pagi Isnin.
Kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu dimaklumkan orang awam kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Barat Daya sebelum kontraktor bertindak mengalihkan batu berkenaan.
Menurut Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, kerja-kerja mitigasi awalan telah dijalankan dan laluan berkenaan kini dibuka semula kepada semua kenderaan.

“Kontraktor JKR, Pintas Utama Sdn Bhd bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Geotech berada di lokasi untuk menjalankan siasatan penuh.
"Tiada kejadian tidak diingini berlaku termasuk melibatkan nyawa pengguna jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

