Wanita maut terjatuh dari tingkat 11

GEORGE TOWN – Seorang wanita tempatan berusia 20 tahun ditemui maut selepas disyaki terjatuh dari tingkat 11 sebuah kondominium di Tanjung Tokong, di sini petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.05 petang daripada orang awam.
“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 dan ditemui sudah tidak bernyawa di bahagian bawah kondominium.
“Siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Abdul Rozak berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk tujuan bedah siasat.
Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian sehingga siasatan selesai dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

