Kegopohan Netanyahu mahu 'takluk' Bandar Gaza

TEL AVIV - Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu tergesa-gesa mahu meneruskan operasi ketenteraan untuk menawan Bandar Gaza tanpa mempedulikan bantahan komuniti antarabangsa dan ketua tentera Israel terhadap rancangan jahat itu.
Pemimpin 'ekstremis' itu memberi alasan kononnya tiada pilihan lain kecuali menggempur habis-habisan wilayah tersebut untuk menghapuskan Hamas dan membebaskan baki tawanan.
Pejabat Netanyahu pada lewat Ahad memaklumkan beliau telah bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tentang pelan Israel untuk mengambil alih dua kubu kuat Hamas di Gaza.
Bagaimanapun, masih tidak jelas bila serangan tersebut akan dilancarkan meskipun Netanyahu memberi bayangan ia bakal bermula dalam masa terdekat.
"Garis masa yang kami tetapkan untuk tindakan itu agak singkat. 'Zon selamat' akan ditubuhkan bagi membolehkan pemindahan orang awam dari Bandar Gaza," katanya merujuk kepada langkah yang jelas satu bentuk pengusiran penduduk Palestin.
Difahamkan, bandar terbesar di Gaza itu menjadi tempat berlindung kira-kira sejuta penduduk yang berpindah-randah lebih lima kali sejak 22 bulan lalu.
Netanyahu sekali lagi cuba berdolak-dalik apabila menyatakan matlamat beliau kononnya bukan mahu 'menakluk' Gaza.
"Kami hanya mahu mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan dan bukannya mahu menduduki wilayah itu. Itu bukan objektif kami," menurut kata-kata temberangnya.
Ketika bantuan udara terus digugurkan di Gaza, angka kematian akibat krisis kebuluran dan malnutrisi di enklaf itu telah meningkat kepada 217 orang termasuk 100 kanak-kanak. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

