Kes Zara Qairina: ‘Wartawan jadian’ jejas kepercayaan proses siasatan

Hamid ketika memberi penjelasan kepada orang ramai berhubung kehadiran individu didakwa VVIP di bangunan Jabatan Forensik HQEI, Kota Kinabalu.
Hamid ketika memberi penjelasan kepada orang ramai berhubung kehadiran individu didakwa VVIP di bangunan Jabatan Forensik HQEI, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kehadiran beberapa individu terdiri daripada pegawai kerajaan dan ahli politik di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) semasa proses bedah siasat Zara Qairina Mahathir, 13, yang dirakam menerusi telefon bimbit dan disiarkan secara langsung telah menimbulkan salah faham terhadap situasi sebenar.

Akibatnya, pasukan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Zara Qairina, terpaksa berulang kali menjelaskan bahawa tiada sebarang campur tangan pihak lain dalam proses tersebut.

Malah, ia berjalan secara telus apabila keluarga diberi tanggungjawab menjadi saksi dalam setiap proses yang berlangsung.

Peguam, Hamis Ismail, dalam sidang akhbarnya pada Ahad, menegaskan tiada individu lain yang masuk ke bilik bedah siasat sepanjang proses berlangsung.

Matbali hadir ke pekarangan Jabatan Forensik HQEI untuk meninjau dan memberi sokongan kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina.
Matbali hadir ke pekarangan Jabatan Forensik HQEI untuk meninjau dan memberi sokongan kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina.

“Untuk elak sebarang spekulasi, tidak ada orang lain dibenarkan masuk ke bilik bedah siasat kecuali pasukan patologi dan pihak yang dibenarkan.

“Keluarga ibu Zara pun ada di sana, duduk di hadapan dan melihat apa yang berlaku. Jangan risau, walaupun saya ada urusan lain, Shahlan Jufri (rakan pasukan peguam) berada di sana untuk memantau. Kami peguam akan memastikan semua dipatuhi, tiada yang disembunyikan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan warga maya yang melihat siaran langsung dan mendakwa terdapat individu dipercayai orang kenamaan (VVIP) memasuki bangunan Jabatan Forensik tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas isu VVIP berkenaan, Hamis mengakui mengetahui individu itu memasuki bangunan tersebut, namun menegaskan kehadirannya tidak berkaitan dengan proses bedah siasat.

“VVIP itu memang ada masuk ke dalam, tetapi bukan ke bilik forensik atau bilik bedah. Dia datang untuk urusan lain. Lagipun, di hadapan bilik forensik itu ada bapa saudara Zara, dan polis menghalang sesiapa daripada masuk ke bilik berkenaan.

“Jadi, kalau ada yang mendakwa VVIP mengganggu bedah siasat, itu tidak benar. Kami ada di dalam dan tahu apa yang berlaku. Jangan buat spekulasi yang bukan-bukan,” katanya.

Orang ramai tidak ketinggalan membuat siaran langsung dan merakam suasana di pekarangan Jabatan Forensik HQEI, Kota Kinabalu.
Orang ramai tidak ketinggalan membuat siaran langsung dan merakam suasana di pekarangan Jabatan Forensik HQEI, Kota Kinabalu.

Penjelasan ini menunjukkan proses mencari kebenaran sedang berlangsung secara telus, dan wartawan di lokasi turut mengesahkan bahawa kehadiran ahli politik di pekarangan Jabatan Forensik hanyalah untuk memberi sokongan moral kepada keluarga.

Antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, yang meluangkan masa lebih sejam untuk bertemu orang ramai dan menyatakan solidariti terhadap keluarga Zara Qairina.

Ketika ditemui pemberita, beliau mengingatkan agar masyarakat tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih di media sosial.

Malah, menurutnya, isu ini turut mendapat perhatian di peringkat nasional apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

“Tidak ada kompromi. Siapa saja yang terlibat, tiada kompromi. Ini adalah kes yang perlu diangkat untuk memastikan ia berjalan secara telus,” katanya.

Selain Matbali, antara yang dilihat di lokasi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, dan ADUN Sekong, Alias Sani, yang turut menyantuni pengamal media serta orang ramai di kawasan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!