Hentikan spekulasi, hormati proses siasatan kes Zara Qairina - Kongres

SEREMBAN – Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci dan telus berhubung kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Setiausaha Agung Kongres, Mohd Azizee Hassan berkata, tindakan segelintir pihak termasuk netizen yang mencetuskan pelbagai teori dan menyebarkan spekulasi tidak berasas di media sosial boleh mengganggu proses siasatan serta mencemarkan imej mangsa dan keluarganya.
“Kongres menyokong penuh proses menegakkan keadilan kepada keluarga mangsa dan berharap ia ditangani sebaik-baiknya tanpa menimbulkan kekeliruan atau polemik.
“Kita juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat palsu berkaitan kematian Zara Qairina supaya tidak mengganggu proses siasatan serta memastikan emosi para guru, murid-murid dan warga sekolah dalam keadaan baik dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, pihaknya bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menolak segala bentuk perlakuan buli di sekolah dan tidak akan berkompromi terhadap isu tersebut.
Justeru, katanya, siasatan yang adil dan saksama perlu dilaksanakan selain semua pihak digesa menangani isu terbabit secara rasional tanpa dipengaruhi sentimen atau emosi.
“Kongres yakin negara ini berdiri atas prinsip Rukun Negara iaitu ‘Keluhuran Perlembagaan’ dan ‘Kedaulatan Undang-Undang’,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

