Mangsa diugut tiada kaitan dengan kes mahkamah Guan Eng - Polis

Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai saksi kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang diserang sekumpulan individu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai saksi kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang diserang sekumpulan individu.
A
A
A

SEPANG - Ugutan penjenayah berkumpulan bersenjata parang yang melakukan kes samun di sebuah rumah di Jalan Bukit Gasing, Petaling Jaya, Rabu lalu, tiada kaitan dengan peranan mangsa sebagai saksi utama perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata setakat ini polis telah merakam keterangan 16 saksi.

Menurutnya, polis telah melaksanakan siasatan di tempat kejadian, namun setakat ini masih belum ada petunjuk positif mengenai suspek.

“Setakat ini belum ada tangkapan dan kes itu membabitkan kehilangan barang berharga.

“Berdasarkan siasatan, ugutan yang diterima mangsa adalah ‘jangan buat bising’ dan ‘duduk diam-diam’ yang lebih kepada percakapan suspek. Banyak kes juga begitu bagi memastikan suspek mendapat kerjasama mangsa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Isnin.

Tegas Shazeli, siasatan awal tidak dapat mengaitkan kejadian itu dengan perbicaraan kes Lim Guan Eng.

Sebelum itu, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima maklumat kejadian tersebut pada jam 7.20 pagi.

Beberapa penjenayah bersenjatakan parang dan memakai penutup muka memecah masuk rumah berkenaan sebelum melarikan barangan berharga yang disimpan di dalam peti besi.

Penjenayah turut mencederakan seorang penghuni, dua pengawal keselamatan dan pemandu peribadi sebelum melarikan diri menggunakan laluan hutan di bahagian belakang rumah.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!