PKPS komited jamin bekalan makanan halal, berkualiti

SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) komited memastikan aspek keterjaminan bekalan makanan sentiasa terpelihara, termasuk pematuhan terhadap keperluan halal, kebersihan dan kualiti produk makanan yang dipasarkan menerusi rangkaiannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, pihaknya memberi perhatian terhadap sumber bekalan ayam, dokumentasi pembekal serta status pensijilan halal berdasarkan keperluan dan rekod pihak berkuasa berkaitan.
Menurutnya, PKPS turut menyokong usaha pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa bagi memastikan aktiviti penyembelihan serta pengedaran ayam yang dibekalkan menerusi rangkaiannya mematuhi peraturan ditetapkan.
“Ini termasuk aspek pensijilan halal dan pematuhan terhadap hukum syarak bagi memastikan bekalan makanan yang disediakan memenuhi keperluan pengguna.
“PKPS akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam memantau sumber serta proses pengedaran bekalan ayam bagi program anjurannya supaya aspek halal, kebersihan dan kualiti sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, orang ramai boleh menyemak status pensijilan halal bagi bekalan ayam di bawah pengurusan PKPS menerusi Direktori Halal Malaysia yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi Direktori Halal Malaysia, tertakluk kepada rekod serta skop pensijilan yang dipaparkan dalam direktori berkenaan.
Beliau berkata, PKPS akan terus memperkukuh usaha menjamin keterjaminan bekalan makanan dengan memastikan pengurusan bekalan di bawah kendaliannya mengutamakan aspek halal, kebersihan dan kualiti.
Langkah itu penting bagi memastikan keyakinan pengguna terhadap bekalan makanan yang dipasarkan menerusi rangkaian PKPS terus terpelihara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
