Jangan kaitkan kes samun saksi dengan Guan Eng - Peguam

KUALA LUMPUR – Peguam kepada Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan sebarang kaitan antara insiden samun terhadap seorang saksi pendakwaan utama dalam perbicaraan kes rasuah yang sedang berjalan dengan anak guamnya.
Dalam satu kenyataan media pada Khamis, firma guaman Messrs Haijan Omar & Co yang mewakili Ahli Parlimen Bagan itu menyifatkan laporan media yang cuba mengaitkan kejadian itu dengan kes perbicaraan sebagai tidak bertanggungjawab, prejudis dan menjejaskan proses keadilan.
“Kami kesal dengan laporan pramatang dan mengelirukan yang mengaitkan insiden tersebut dengan perbicaraan yang sedang berlangsung, termasuk kenyataan pendakwa utama yang membayangkan kaitan dengan anak guam kami,” kata kenyataan itu.
Menurut laporan sebuah portal berita, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin dilaporkan berkata, pihaknya sedang menunggu arahan daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berhubung kemungkinan memohon perlindungan mahkamah untuk saksi terbabit.
Firma guaman itu menyatakan bahawa langkah perlindungan hanya wajar diambil jika terdapat ancaman keselamatan yang nyata, dan bukan berdasarkan andaian yang bersifat spekulatif serta berbaur tuduhan.
“Kenyataan seperti ini, sama ada oleh pihak media mahupun pendakwaan, boleh menjejaskan integriti proses kehakiman dan mencemarkan reputasi anak guam kami secara tidak adil,” katanya,
Peguam Guan Eng juga mempersoalkan tindakan Wan Shahruddin yang didakwa membuat kenyataan tanpa terlebih dahulu mendapatkan maklumat lengkap daripada siasatan polis.
“Kenyataan beliau dibuat sebelum hasil siasatan penuh polis diumumkan. Kemungkinan besar beliau tidak merujuk kepada pihak polis mengenai motif kejadian,” katanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, siasatan mendapati insiden itu adalah satu kes rompakan bersenjata dan tidak melibatkan sebarang unsur ugutan terhadap saksi.
“Ini merupakan kes samun yang jelas. Tiada elemen mengganggu saksi,” katanya seperti dilaporkan media.
Berikutan perkembangan itu, pihak peguam memaklumkan mereka akan membawa isu tersebut ke pengetahuan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tarikh perbicaraan seterusnya, 19 Ogos 2025.
Mereka juga menasihatkan pihak media agar tidak membuat laporan mengenai kes perbicaraan Lim tanpa menyemak fakta terlebih dahulu bagi mengelakkan gangguan terhadap prosiding mahkamah.
“Kami mengalu-alukan penjelasan segera oleh pihak polis yang mengesahkan bahawa kejadian berkenaan tiada kaitan langsung dengan perbicaraan dan tiada unsur mengugut saksi terlibat,” kata kenyataan itu.
Guan Eng dalam masa sama, menyatakan keyakinannya terhadap sistem kehakiman dan berikrar untuk mempertahankan diri secara sah bagi membersihkan namanya daripada pertuduhan yang dianggap tidak berasas itu.
Terdahulu seorang saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diserang sekumpulan 10 lelaki yang menceroboh rumahnya di Petaling Jaya, pada Rabu.
Mangsa mengalami kecederaan di muka dan tangan selepas penyerang masuk ke dalam kediamannya, menurut sumber yang rapat dengan perbicaraan itu.
Difahamkan, penyerang telah mengikat dua pengawal keselamatan sebelum memasuki rumah mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

