Destinasi pelancongan Korea Selatan dikecam isu layanan buruk, kebersihan dan caj melampau

Pengkritik memberi amaran bahawa kritikan itu berisiko tercalar dalam kalangan pelancong tempatan serta antarabangsa. Foto Agensi
Pengkritik memberi amaran bahawa kritikan itu berisiko tercalar dalam kalangan pelancong tempatan serta antarabangsa. Foto Agensi
A
A
A

SEOUL - Destinasi pelancongan popular di Korea Selatan sekali lagi berdepan kritikan berhubung isu lama melibatkan layanan biadab, keadaan tidak bersih dan harga penginapan melampau ketika musim puncak musim panas yang menarik kunjungan besar-besaran pelancong.

Di Yeosu, wilayah Jeolla Selatan, sebuah restoran terkenal mencetuskan kemarahan selepas seorang YouTuber wanita memuat naik video pada 3 Julai yang memaparkan pemilik restoran memarahinya kerana makan seorang diri.

“Tempat kami bukan untuk seorang sahaja. Makan cepat,” kata pemilik itu.

Apabila pelanggan berkenaan cuba membuat pembayaran selepas memutuskan untuk meninggalkan makanan di pertengahan kerana berasa tidak dialu-alukan, pemilik terbabit menyuruhnya 'terus pergi' dan menghalaunya keluar.

YouTuber itu berkata, beliau hanya berada di situ selama 20 minit dan telah memesan dua hidangan.

Kecaman orang ramai memaksa restoran tersebut memohon maaf secara terbuka dan menutup operasi buat sementara waktu.

Pemeriksaan susulan oleh bahagian kebersihan makanan bandar itu menemui pelanggaran peraturan kebersihan, menyebabkan pemiliknya didenda 500,000 won (RM1,700).

Pada 8 Ogos, sebuah restoran di Gyo-dong, Yeosu, turut dikesan menggunakan semula makanan lebihan dan diarahkan tutup selama 15 hari.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan semua restoran akan diperiksa dari Isnin hingga Khamis bagi memastikan tahap kebersihan dan layanan pelanggan, termasuk larangan memaksa pelanggan makan seorang diri memesan hidangan berlebihan.

Artikel Berkaitan:

Insiden serupa turut berlaku di Sokcho. Pada Jun lalu, sebuah gerai makanan laut di Pasar Sotong Dongmyeong Port dirakam mendesak pelanggan solo supaya makan dengan cepat. “Bukankah ini agak keterlaluan selepas hanya 14 minit?” tanya pelanggan dalam video yang kemudian tular.

Peniaga itu diarahkan menutup operasi sehingga akhir Ogos, manakala seluruh pasar akan menutup operasi secara sukarela selama enam hari bermula 17 hingga 22 Ogos untuk sesi latihan semula.

Sementara itu, harga penginapan di Gangneung, Chuncheon dan Hongcheon di wilayah Gangwon melonjak tinggi.

Kadar hujung minggu musim puncak bagi bilik empat orang semalam mencecah 1 juta won (RM3,700) untuk rumah inap desa dan 2 juta won (RM7,400) untuk hotel, manakala motel mengenakan caj 400,000 won (RM1,480), iaitu lebih tiga kali ganda daripada musim biasa.

Kontroversi ini timbul ketika Gangwon mempromosikan tahun 2025 hingga 2026 sebagai Tahun Lawatan Gangwon bagi merancakkan sektor pelancongan.

“Kami tidak dapat mengawal kadar bilik, tetapi kami menjalankan program aduan pengguna dan sedang meneliti pembaharuan industri secara menyeluruh,” kata seorang pegawai wilayah.

Pengkritik memberi amaran bahawa tanpa menangani isu budaya layanan dan penyalahgunaan harga, reputasi rantau itu berisiko terjejas di mata pelancong tempatan dan antarabangsa. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!