Pemilik kenderaan asing isi RON95 perlu dihukum bukan hanya pemilik stesen minyak

JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu memperketatkan peraturan sedia ada bagi membolehkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap pemandu kenderaan bernombor pendaftaran asing yang mengisi petrol RON95 bersubsidi di negara ini.
Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, cadangan itu sudah dikemukakan sejak empat bulan lalu oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, isu berkenaan kembali hangat selepas dua kes terbaharu tular membabitkan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi RON95 pada minggu lalu.
“Ketika ini tindakan hanya boleh diambil terhadap pemilik stesen minyak.
"Kerajaan negeri mahu peraturan diperketat supaya pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan asing yang melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran aplikasi mudah alih sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di sini pada Isnin.
Menurut Ting Han, minggu lalu pihak KPDN Johor mengesan dua kes melibatkan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Nusa Sentral, Iskandar Puteri dan di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).
Katanya, siasatan awal termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sudah dijalankan sebelum kes dibawa kepada pihak pendakwa raya untuk arahan lanjut.
Isnin lalu, tular gambar seorang pemilik kenderaan mewah bernombor pendaftaran Singapura mengisi RON95 ke dalam sebuah botol plastik besar di sebuah stesen minyak di Nusa Sentral.
Selang empat hari, tular pula gambar seorang lelaki mengisi petrol RON95 ke dalam kereta bernombor pendaftaran republik itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

