Lagi kes kereta Singapura isi RON95

Gambar tular di media sosial memaparkan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi RON95.
Gambar tular di media sosial memaparkan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi RON95.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Belum pun reda isu pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol bersudsidi RON95 di Iskandar Puteri pada awal minggu ini, satu lagi kes sama berulang dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).

Gambar kereta bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi RON95 dipercayai di SDE, tular di media sosial pada Jumaat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo mengesahkan kes berkenaan sedang disiasat selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, semakan dilakukan mendapati lokasi kejadian berada di bawah penguatkuasaan KPDN Johor Bahru.

“Ini merupakan insiden terbaharu melibatkan warga asing mengisi RON95 dan apa yang mengecewakan ialah pam terbabit terletak betul-betul di hadapan kaunter bayaran.

“Sepatutnya perkara seperti ini boleh dielak jika petugas stesen minyak lebih peka,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Lilis Saslinda berkata, pasukan KPDN akan dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan tidak berkompromi dengan pihak yang cuai.

Pada Selasa, KPDN Johor turut menjalankan siasatan ke atas sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri selepas gambar sebuah kereta mewah Singapura mengisi RON95 turut tular di media sosial.

Sementara itu, Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han memaklumkan pihaknya telah mendapatkan maklum balas daripada KPDN berhubung isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kerajaan negeri menegaskan keperluan supaya tindakan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada pengusaha stesen minyak, sebaliknya diperluas kepada pemandu kenderaan asing yang mengisi petrol bersudsidi RON95.

"Kerajaan negeri sedang menggesa agar peraturan sedia ada dikemas kini supaya tindakan boleh diambil terhadap pemandu kenderaan asing yang mengisi petrol RON95.

“Kita memang tekankan supaya peraturan diubah supaya tindakan boleh diambil terhadap pemandu dan bukan hanya pengusaha stesen minyak sahaja.

"Bagaimanapun langkah itu memerlukan pertimbangan dan kelulusan di peringkat Kerajaan Persekutuan memandangkan ia melibatkan bidang kuasa agensi pusat seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," ujarnya.

 

 

-end

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!