Koperasi tawar promosi pelaburan tanpa kelulusan berdepan tindakan tegas - Ewon

KUALA LUMPUR - Koperasi yang didapati membuat sebarang promosi berkaitan pelaburan tanpa kelulusan Suruhanjaya Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berdepan tindakan tegas.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, ini kerana perbuatan tersebut jelas melanggar akta dan perundangan yang ditetapkan.
“Saya akan ambil tindakan terhadap perkara yang dibangkitkan. Ketika ini sebarang promosi berkaitan dengan pelaburan seperti yang disebut itu memerlukan kelulusan daripada SKM dan mana-mana koperasi yang tidak mendapat kelulusan boleh diambil tindakan dan ada perundangan yang membolehkan tindakan tegas diambil.
“Saya ambil isu ini sebagai sesuatu yang serius untuk disemak,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai dakwaan wujud sebuah koperasi yang menawarkan promosi pelaburan kepada orang awam.
Mengulas lanjut, Ewon berkata, semua koperasi diingatkan supaya mematuhi garis panduan tujuan asal ia diwujudkan bagi memastikan tidak tersasar daripada landasan sebenar.
Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai keperluan menggubal Akta Koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502], Ewon berkata, langkah itu penting dengan mengambil kira bahawa Akta Koperasi sedia dibangunkan berdasarkan kerangka perundangan awal gerakan koperasi negara yang diperkenalkan sejak lama dahulu.
Beliau menambah, penyesuaian dasar dan undang-undang diperlukan bagi memastikan sektor koperasi kekal relevan, seiring perkembangan sosioekonomi, kemunculan teknologi baharu dan keperluan tadbir urus yang berakauntabiliti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

