Empat lagi alat pengesan dipasang pantau keradioaktifan air laut

CHANG LIH KANG
CHANG LIH KANG
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat lagi unit Stesen Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS) akan dipasang menjelang hujung tahun ini selepas pemasangan pertama sistem berkenaan dibuat di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, lokasi pelaksanaannya melibatkan Pulau Langkawi, Pulau Perhentian dan Pulau Tioman di Semenanjung Negara, serta Bintulu di Sarawak.

Menurut beliau, peranti tersebut berfungsi mengesan serta memantau, tahap radiasi gamma dalam sumber air bagi tujuan keselamatan dan penyelidikan.

"Peranti ini boleh mengawal radiasi atau tahap radiasi dalam air dan ia bukan sahaja dipasang di Malaysia, tetapi di seluruh ASEAN juga.

"Jadi kita akan dapat mengesan awal sekiranya mana-mana bahagian di rantau ini terdapat bacaan yang abnormal, kita boleh tahu sebab semua sistem kita terhubung.

"Peranti di UMS Sabah telah dipasang pada 2023, manakala lagi empat akan dipasang dalam masa terdekat, kita sasarkan hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Tahunan ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy (ASEANTOM) ke-12, di sebuah hotel di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh kerjasama dengan rakan serantau, khususnya negara anggota ASEAN, dalam aspek keselamatan, sekuriti dan perlindungan tenaga atom.

"Walaupun kita belum melaksanakan penjanaan kuasa nuklear, perkembangan di rantau ini menunjukkan semua negara sedang meneroka potensi tenaga tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Bukan sahaja untuk penjanaan elektrik, tetapi juga sektor-sektor lain yang menggunakan bahan radioaktif yang perlu dikawal selia.

"Oleh itu, penting untuk kita memperkukuh kerjasama dalam rangka kerja peraturan tenaga atom,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!