Pengawal peribadi langgar protokol selamatkan wanita dikasari lelaki

Nasrullah sanggup melanggar protokol tugas demi menyelamatkan wanita dikasari lelaki di ibu kota.
Nasrullah sanggup melanggar protokol tugas demi menyelamatkan wanita dikasari lelaki di ibu kota.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengawal peribadi sanggup melanggar protokol tugas demi menyelamatkan seorang wanita yang dikasari seorang lelaki sehingga mengganggu lalu lintas di ibu kota.

Nasrullah Salim yang berkhidmat dalam bidang pengiring keselamatan sejak 13 tahun lalu berkata, kejadian itu berlaku pada Jun lepas ketika beliau sedang bertugas.

Menurutnya, tindakan nekad tersebut dibuat atas dasar ehsan selepas melihat lelaki terbabit menarik, memaksa dan menghalang wanita berkenaan, selain mengganggu laluan kenderaan.

“Sebelum bertindak, saya terlebih dahulu meminta izin daripada prinsipal (individu dilindungi) dan memastikan keselamatannya tidak terjejas.

“Untuk pertama kali saya melanggar protokol ketika bertugas. Saya keluar dan bertanya kepada wanita itu, ‘Are you okay ma’am?’ tetapi bahasa tubuhnya jelas menunjukkan dia tidak okay,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Nasrullah memuat naik video kejadian itu di TikTok yang meraih lebih tiga juta tontonan.

Jelasnya, beliau tidak melayan sebarang komunikasi daripada lelaki berkenaan menyebabkan individu itu tidak berpuas hati, cuba mendekati serta bertindak memberikan ancaman.

“Lelaki terbabit dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol akhirnya dapat ditenangkan sebelum mendakwa isu berkenaan adalah urusan suami isteri dan saya tidak berhak untuk campur tangan.

“Bagi saya, sama ada berkahwin atau tidak, ia berlaku di tempat awam dan menjadi tanggungjawab kita bersama,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi lebih lanjut, Nasrullah berkata, ketika beliau hendak kembali ke kenderaannya, lelaki berkenaan datang semula bersama dua individu lain dalam keadaan mencurigakan dengan tangan memegang sesuatu.

Meskipun insiden tersebut tidak berakhir dengan kecederaan, Nasrullah menegaskan ia seharusnya membuka mata masyarakat agar tidak membiarkan jenayah berlaku di depan mata.

“Saya minta pemandu naikkan cermin dan biar saya uruskan. Saya bersedia atas apa juga kemungkinan tetapi pesan saya ketika itu adalah jangan bertindak terburu-buru.

“Tindakan kita boleh menyelamatkan nyawa. Kita terbiasa tidak kisah hingga perbuatan salah dianggap betul oleh orang sekeliling mereka,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar segera menghubungi polis sekiranya berdepan situasi mencurigakan kerana pasukan keselamatan mampu tiba dalam tempoh kurang 15 minit sekiranya berada di kawasan bandar.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!