Polis sahkan lelaki ganggu lalu lintas alami kemurungan

Individu terbabit berjaya diberkas polis dan kini ditahan di wad untuk rawatan lanjut selepas pihak hospital mengesahkan dia mengalami masalah kesihatan mental
Individu terbabit berjaya diberkas polis dan kini ditahan di wad untuk rawatan lanjut selepas pihak hospital mengesahkan dia mengalami masalah kesihatan mental
A
A
A

BATU PAHAT – Polis mengesahkan kejadian tular melibatkan seorang lelaki yang didakwa mengganggu lalu lintas di Jalan Parit Bilal, di sini, baru-baru ini, berpunca daripada masalah kesihatan mental dialami individu terbabit.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian terbabit jam 1.20 petang Jumaat lalu membabitkan seorang lelaki yang berjalan kaki secara mundar-mandir di atas jalan raya serta membuat gangguan kepada aliran trafik.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 40 tahun itu dipercayai sedang mengalami kemurungan akibat tekanan perasaan susulan kehilangan isterinya. Ujian saringan awal air kencing mendapati individu terbabit bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

"Selain itu, tiada sebarang kecederaan atau kerosakan dilaporkan berlaku dalam kejadian terbabit," katanya.

Pesakit kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan awal pihak hospital mengesahkan keadaan pesakit tersebut yang mengalami kemurungan dan dia kini ditahan di wad untuk rawatan selanjutnya.

Kes ini diklasifikasikan sebagai isu kesihatan mental dan pihak polis meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!