Perselisihan faham punca warga emas dibunuh

Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun maut selepas dipukul dan ditikam dalam satu pergaduhan di Cherok Tokun pada petang Ahad. - Gambar hiasan
Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun maut selepas dipukul dan ditikam dalam satu pergaduhan di Cherok Tokun pada petang Ahad. - Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun maut selepas dipukul dan ditikam dalam satu pergaduhan di Cherok Tokun di sini, pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.22 petang ketika mangsa sedang berbual dengan lima rakan, termasuk suspek berhampiran sebuah pondok di kawasan tersebut.

Menurutnya, suspek berusia 70 tahun secara tiba-tiba datang dari arah belakang dan memukul mangsa menggunakan sebatang kayu, menyebabkan mangsa rebah sebelum menikamnya dengan sebilah pisau.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian sejurus insiden tersebut. Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Helmi berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang telah berlaku sejak tiga hari lalu dan berlarutan sehingga hari kejadian.

“Setakat ini, lima tangkapan telah dibuat bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!