Covid-19: Masyarakat bantu keluarga kakitangan kesihatan, keselamatan

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

PASIR MAS - Masyarakat setempat perlu menawarkan khidmat jagaan anak-anak kepada petugas perubatan dan keselamatan berikutan golongan itu memikul beban tugas sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berkata, bantuan itu juga bagi menyatakan solidariti kepada kumpulan yang terjejas termasuk golongan B40 dan peniaga kecil.

"Keluarga pasukan perubatan dan keselamatan khususnya anak mereka perlu mendapat penjagaan dalam situasi taska dan sekolah diarahkan ditutup," katanya menerusi Facebook Dewan Pemuda Pas Malaysia semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Covid-19: Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 Mac

Ahmad Fadhli berkata, golongan B40 turut terkena tempias perlaksanaan langkah tersebut apabila mereka mungkin hilang punca pendapatan.

"Selain bantuan yang diisytiharkan oleh kerajaan, Pemuda Pas mengajak masyarakat untuk tidak mengabaikan golongan terbabit untuk sama-sama menghulurkan bantuan yang diperlukan dari semasa ke semasa.

"Inilah masa terbaik untuk semua pihak berganding bahu bagi memastikan ujian sukar ini dapat diharungi dengan selamat dan yakinlah musibah ini ada hikmahnya," katanya.

Artikel Berkaitan: