Cadangan kuota 40 peratus Bumiputera di KL tidak lagi relevan

KUALA LUMPUR – Cadangan dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2040 untuk memastikan peratusan penduduk Melayu atau Bumiputera di ibu negara kekal sekurang-kurangnya 40 peratus dianggap tidak lagi relevan kerana angka itu telah lama melepasi paras tersebut sejak lebih dua dekad lalu.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, berdasarkan statistik pada 2023, peratusan Bumiputera di Kuala Lumpur telah mencecah 47.4 peratus, meningkat 1.5 peratus berbanding 45.9 peratus pada tahun 2010.
Beliau menjelaskan penetapan ambang 40 peratus itu ketinggalan zaman kerana pencapaian tersebut telah melepasi sasaran sejak lebih 25 tahun lalu.
“Keadaannya seperti menetapkan kuota 30 peratus wanita di Parlimen Kanada pada hari ini, sedangkan separuh daripada ahlinya sudah pun wanita,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Berdasarkan unjuran penduduk Jabatan Perangkaan, peratusan penduduk Cina dijangka susut kepada 21.1 peratus pada 2030 dan terus merosot kepada hanya 14.8 peratus menjelang 2060.
Pengurangan itu bukan sahaja dari segi peratusan, malah jumlah mutlak penduduk berbangsa Cina di Semenanjung Malaysia dijangka menurun daripada sekitar 6.2 juta orang kepada hanya 5 juta orang pada 2060, manakala kaum India diunjurkan menyusut daripada 6.3 peratus pada 2030 kepada 4.7 peratus pada 2060.
Chean Chung mempersoalkan siapa yang diandaikan mengisi baki 60 peratus itu jika kuota 40 peratus untuk Bumiputera terus dijadikan sasaran.
Katanya, pada masa lalu ia mungkin merujuk kepada kaum Cina, India dan lain-lain yang dianggap ‘lawan’, namun pada hari ini baki tersebut hanyalah ruang vakum yang semakin membesar, diisi minoriti kaum yang jumlahnya semakin berkurangan serta berdepan cabaran hidup sama seperti majoriti.
Beliau menegaskan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berkongsi aspirasi yang sama iaitu kehidupan yang lebih baik, selain berdepan cabaran serupa seperti gaji yang tidak meningkat, kesesakan lalu lintas, sistem pengangkutan awam yang mengecewakan dan kekurangan kawasan hijau untuk beriadah.
Menurutnya, jika masyarakat terus membayangkan wujudnya ‘pihak lain’ untuk bersaing dengan Bumiputera, negara akan terperangkap dalam bayang-bayang masa lalu dan gagal menyedari bahawa minoriti semakin bergantung kepada majoriti Melayu untuk bersama-sama memajukan tanah air.
Beliau menambah pesaing sebenar Kuala Lumpur bukanlah jiran sebumbung, tetapi bandar-bandar serantau seperti Singapura, Bangkok, Jakarta dan Ho Chi Minh yang lebih bersedia menarik pelaburan dan bakat antarabangsa.
“Daripada terperangkap dalam situasi zero-sum, lebih baik Rancangan Struktur ini digunakan untuk menyatukan penduduk Kuala Lumpur dan menjadikan bandar raya ini bertaraf antarabangsa. Janji reformasi Kerajaan MADANI memerlukan pembaharuan bukan sahaja dalam struktur ekonomi, tetapi juga budaya dan cara berfikir,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

