Pengendali FB dipanggil, SKMM siasat penyebaran berita palsu kes Zara Qairina

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memanggil seorang individu bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan palsu berkaitan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir di media sosial.
Menurut SKMM, kandungan terbabit dipercayai mengandungi maklumat palsu serta bersifat 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang boleh mencetuskan kekeliruan awam dan mengganggu kelancaran siasatan pihak berkuasa.
“Individu berkenaan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 9 Ogos lalu. Satu unit telefon bimbit dan sekeping kad SIM turut disita bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
SKMM turut mengingatkan orang ramai supaya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan serta berhati-hati daripada menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.
“Maklumat yang tidak disahkan bukan sahaja berisiko menggores hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh menjejaskan proses keadilan,” jelas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

