Kos gaji penjawat awam dijangka naik RM18 bilion - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV pada Sabtu. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kos pembayaran gaji penjawat awam dijangka meningkat sehingga RM18 bilion tahun depan susulan pelaksanaan pelarasan gaji terbesar dalam tempoh lebih sedekad, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, kenaikan itu mengambil kira peningkatan kos sara hidup, khususnya melibatkan pendidikan dan kesihatan, demi memastikan kebajikan serta kedudukan penjawat awam terus terbela.

"Kerajaan sebelum ini sudah umumkan kenaikan gaji berjumlah RM10 bilion yang tertinggi dalam sejarah sejak 12 tahun lalu.

"Siling dan lantai ekonomi rakyat mesti naik melalui RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13). Saya juga menyeru syarikat swasta menetapkan gaji minimum RM1,700, manakala syarikat di bawah kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya RM3,100,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, pada Sabtu.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Menurut beliau, syarikat berkenaan telah diminta memastikan pelaksanaan kenaikan gaji tanpa hanya berbangga dengan keuntungan yang diperoleh.

Dalam masa sama, Anwar memberitahu golongan petani, nelayan dan pesawah turut menerima pelbagai manfaat termasuk kenaikan insentif yang telah diumumkan.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelarasan gaji 15 peratus bagi Kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional, manakala 7 peratus untuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pelaksanaan kenaikan gaji dibuat secara berfasa – fasa pertama pada 1 Disember ini dan fasa kedua pada 1 Januari 2026.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!