Harga emas dijangka naik, elak pembelian panik

EMAS bukan hanya perhiasan, tetapi juga pelaburan yang memerlukan perancangan, pengetahuan dan strategi.
Disebabkan faktor itu, ramai tetap membeli emas walaupun harganya naik kerana percaya nilainya akan terus meningkat dalam jangka panjang.
Selepas harga emas 999 .9 melonjak naik kepada RM500 segram pada April lepas, harga emas terus diramalkan meningkat sehingga 10 peratus pada September daripada paras semasa didorong oleh jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS).
Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Seri Louis Ng yakin bahawa logam berharga itu berpotensi untuk terus meningkat berikutan jangkaan perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara dolar AS dan Ringgit Malaysia akan merangsang permintaan.
Beliau berkata, ketika ini, harga emas berada pada sekitar AS$3,370 (RM14,292) seauns meningkat sebanyak 28 peratus daripada AS$2,630 (RM11,153) pada awal tahun sebahagian besarnya disebabkan oleh ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran.
Jelasnya, satu-satunya faktor utama yang dijangka menyumbang kepada lonjakan harga emas adalah pemotongan kadar faedah oleh Fed disebabkan konflik-konflik sebelum ini mula mereda.
Bagaimanapun, kenaikan harga tidak seharusnya menjadi alasan untuk membuat pembelian panik.
Tindakan terburu-buru bukan sahaja boleh menyebabkan pembeli membayar pada harga yang lebih tinggi, malah berisiko terutamanya jika urusan dilakukan secara dalam talian.
Pembeli disaran membuat perbandingan harga, memeriksa ketulenan emas dan memilih penjual bertauliah.
Dalam masa sama, pemakaian barang kemas di tempat awam wajar dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan diri menjadi sasaran penjenayah.
Kenaikan harga emas memang memberi peluang pelaburan, tetapi ia juga menuntut sikap berwaspada.
Pendek kata, walaupun emas dijangka terus meningkat nilainya, keputusan membeli perlu dibuat dengan bijak, berhemah dan tidak dipengaruhi sentimen panik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

