Kayuh 4km setiap hari demi sepucuk surat

Shahidin menunjukkan gambarnya ketika berkhidmat sebagai penghantar surat.
Shahidin menunjukkan gambarnya ketika berkhidmat sebagai penghantar surat.
A
A
A

JELEBU – [DIKEMAS KINI] Dalam era serba moden hari ini, perkhidmatan penghantaran semakin canggih. Namun, siapa sangka sekitar tahun 70-an, sebuah basikal dan beg surat berat di bahu sudah cukup menjadi nadi penghubung masyarakat luar bandar dengan dunia luar.

Itulah kisah penuh dedikasi seorang bekas posmen, Shahidin Omar, 72, dari Kampung Kampai di sini yang mengayuh basikal sejauh empat kilometer setiap hari demi memastikan setiap pucuk surat sampai ke tangan penerima tepat pada waktunya.

Berbekalkan semangat kental dan rasa tanggungjawab yang tinggi, Shahidin memulakan khidmatnya sebagai posmen pada 1977 dan menamatkan kerjayanya selepas 26 tahun berbakti sebelum bersara pada 2003.

“Waktu itu, tiada telefon dan tiada internet. Surat jadi satu-satunya cara untuk orang kampung berhubung dengan keluarga, orang tersayang dan urusan rasmi. Jadi, kehadiran posmen amat ditunggu-tunggu,” katanya kepada Sinar Harian.

Shahidin (tiga dari kanan) semasa berkhidmat sebagai askar wataniah.
Shahidin (tiga dari kanan) semasa berkhidmat sebagai askar wataniah.

Sebelum menjadi posmen, Shahidin pernah berkhidmat sebagai askar wataniah dari 1972 hingga 1977. Namun, akibat ancaman pengganas komunis yang masih menebal ketika itu, beliau terpaksa menolak tawaran sebagai askar tetap dan memilih laluan kerjaya lain.

“Saya mohon jadi posmen kerana saya ada lesen motosikal dan kereta. Waktu itu umur baru 23 tahun. Mula-mula rasa kurang serasi tapi selepas beberapa minggu saya mula biasakan diri dan rasa seronok pula,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Bagaimanapun, motosikal ketika itu belum digunakan dan basikal menjadi ‘kenderaan rasmi’ setiap posmen.

Artikel Berkaitan:

Shahidin akan mengayuh ke sekitar Kuala Klawang dan kadangkala ke Petasih dan Kerangai dengan satu beg besar berisi surat-surat penduduk kampung.

“Saya mula asingkan surat sekitar jam 8 pagi, kemudian berkayuh jam 9 pagi dan mesti siapkan sebelum 5 petang. Kadang-kadang tukar syif juga tapi rutin tetap sama; kayuh dan hantar surat.

“Zaman itu, posmen bukan sekadar penyampai surat tetapi juga penyambung kasih sayang. Anak muda selalu tunggu surat cinta dari kekasih. Kalau musim raya, pemilihan parti atau surat penting dari pejabat kerajaan, memang tak menang tangan kami dibuatnya,” katanya sambil ketawa kecil.

Shahidin turut mengenang bagaimana penduduk kampung akan menyambut kehadiran posmen dengan senyuman dan harapan, seolah-olah membawa sebahagian daripada dunia luar kepada mereka.

Shahidin menunjukkan kad pesara.
Shahidin menunjukkan kad pesara.

“Kami berkhidmat menggunakan basikal lebih 10 tahun sebelum perkhidmatan penghantaran dinaik taraf menggunakan motosikal pada lewat 80-an hingga awal 90-an.

“Penat tu memang ada, tapi kami bangga. Kami tahu orang kampung bergantung kepada kami. Tak ada surat digital macam sekarang,” tambahnya.

Ketika ditanya mengenai perkhidmatan pos hari ini, Shahidin tidak menafikan kemajuan teknologi banyak mengubah cara masyarakat berurusan.

“Sekarang semua urusan atas talian. Surat dah bukan pilihan utama. Syarikat kurier pun makin banyak. Tapi saya harap Pos Malaysia terus kekal, sebab ia lambang penting dalam sejarah pembangunan negara,” katanya penuh harapan.

Beliau turut berharap agar kerajaan dan pihak pengurusan Pos Malaysia mengambil langkah proaktif dalam menjaga kebajikan kakitangan dan memastikan perkhidmatan ini tidak tenggelam ditelan arus zaman.

“Dulu kami berpeluh atas jalan demi surat. Hari ini, jangan sampai Pos Malaysia tinggal nama saja,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!