Wanita rugi RM2.34 juta terjerat cinta palsu kenalan keluarga

Seorang wanita mengalami kerugian RM2.34 juta selepas menjadi mangsa 'love scam' membabitkan individu yang dikenalinya melalui kenalan keluarga sejak Februari tahun lalu. Gambar hiasan Bernama
Seorang wanita mengalami kerugian RM2.34 juta selepas menjadi mangsa 'love scam' membabitkan individu yang dikenalinya melalui kenalan keluarga sejak Februari tahun lalu. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN – Seorang wanita mengalami kerugian RM2.34 juta selepas menjadi mangsa 'love scam' membabitkan individu yang dikenalinya melalui kenalan keluarga sejak Februari tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa, 53, yang bekerja sebagai pengurus pengaturcara di sebuah kilang di Bayan Lepas itu membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 8 Julai lalu.

Menurutnya, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki yang mengaku warganegara Singapura bernama Perry Chen dan menetap di Ottawa, Kanada melalui ibu saudaranya, May yang cuba menjodohkan mereka.

“Suspek berkenalan dengan ibu saudara mangsa ketika menghadiri seminar di Kuala Lumpur. Sepanjang perkenalan, mangsa dan suspek hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

“Pada Mac 2024, suspek mendakwa menjalankan perniagaan pemasangan grid elektrik dengan kerajaan Oman dan meminta bantuan mangsa membuat pindahan wang bagi pembelian bahan mentah kerana capaian internet di negara itu dikatakan tidak stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa membantu mengakses akaun milik suspek dan membuat pindahan seperti diarahkan namun diberitahu urusan itu gagal kerana melibatkan negara berbeza.

Katanya lagi, suspek meminta mangsa membayar caj perkhidmatan bank terlebih dahulu dengan janji akan membayar semula.

“Akibat terjerat dalam percintaan alam maya, mangsa membuat 58 transaksi antara 28 Mac hingga 18 Ogos 2024 berjumlah RM1.94 juta ke sembilan akaun bank tempatan berbeza yang diberikan suspek.

“Pada September 2024, suspek memaklumkan telah mendepositkan cek berjumlah AS$404,500 ke dalam akaun Heritage Asset Bank Oman untuk membayar semula wang mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kemudian dihubungi kononnya pegawai bank cawangan Malaysia yang menyatakan perlu membayar caj bank sebelum cek itu boleh ditunaikan,” ujarnya.

Menurut Mohd Alwi, mangsa membuat 13 lagi transaksi antara 25 September 2024 hingga 4 Julai 2025 ke sejumlah akaun bank tempatan berbeza berjumlah RM399,407.

“Mangsa mula sedar ditipu selepas menyedari alasan yang diberikan suspek tidak munasabah dan mengalami kerugian besar sebelum tampil membuat laporan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pelbagai taktik scammer yang memperdaya mangsa melalui hubungan romantis palsu bagi tujuan kewangan.

“Love scam bukan sahaja melibatkan kerugian wang tetapi juga memberi kesan emosi dan trauma berpanjangan kepada mangsa. Elakkan memberikan maklumat peribadi atau kewangan kepada kenalan dalam talian, lebih-lebih lagi jika diminta wang atau hadiah.

“Gunakan kemudahan 'reverse image search' di Google bagi menyemak gambar individu yang dikenali dalam talian kerana ramai scammer menggunakan gambar palsu. Jangan rahsiakan hubungan dalam talian, sebaliknya berkongsi dengan keluarga atau kenalan untuk mendapat pandangan,” katanya.

Mohd Alwi turut menggesa masyarakat bekerjasama memerangi penipuan dalam talian dengan menyebarkan maklumat mengenai modus operandi terkini agar tiada lagi mangsa seterusnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!