Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka lebihi sasaran pelawat

OSAKA, Jepun – Pavilion Malaysia telah mencapai 2.2 juta pelawat sehingga 4 Ogos lalu berbanding sasaran ditetapkan 1.5 juta pelawat sepanjang enam bulan Ekspo 2025 Osaka berlangsung bermula April lalu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kehadiran pengunjung yang ramai itu turut menunjukkan kejayaan Pavilion Malaysia.
“Apabila saya bertanya apa yang paling menarik di Pavilion Malaysia, saya dimaklumkan ia adalah roti canai kita. Setiap hari, sebanyak 1,500 keping roti canai dijual.
“Harganya tidak murah saya difahamkan lebih RM50 sekeping dan ramai pengunjung sanggup beratur panjang. Tadi kita sempat menyaksikan persembahan roti canai terbang.
“Persembahan tarian di luar Pavilion Malaysia turut menarik perhatian ramai pengunjung,” katanya pada sidang media ketika melawat Pavilion Malaysia di sini pada Jumaat.
Kata Tengku Zafrul, dari segi pelaburan dan perdagangan pula sasaran adalah RM13 bilion dan setakat ini telah mencapai potensi pelaburan dan perdagangan sebanyak RM11.2 bilion.
“Kebetulan, minggu ini adalah giliran negeri Sarawak (selama satu minggu). Timbalan Premier Sarawak (Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan) juga berada di sini dan telah menyaksikan beberapa pemeteraian MoU, termasuk satu Memorandum of Agreement,” katanya.

Kata Tengku Zafrul, antara potensi pelaburan merangkumi sektor teknologi hijau, industri halal, tenaga boleh diperbaharui, bioekonomi dan ekonomi digital.
Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka, Kansai direka untuk mempamerkan kepelbagaian budaya dan ekonomi Malaysia yang dinamik.
Ia terdiri daripada tiga tingkat dengan keluasan 2,654.52 meter persegi yang menggambarkan tema Menganyam Masa Depan Harmoni, fasad pavilion yang diperbuat daripada buluh menampilkan corak anyaman ‘reben’ yang mempesona, menyerlahkan keanggunan lembut kain songket, fabrik ikonik Malaysia.
Pada waktu malam, pavilion berubah rupa dengan pancaran cahaya yang menyerupai kilauan benang emas dan perak.
Reka bentuk ini menonjolkan warisan budaya Malaysia yang pelbagai, menunjukkan bagaimana kepelbagaian boleh menjadi pemangkin kepada masa depan yang inovatif, inklusif dan mampan.
Sementara itu, kata Tengku Zafrul, Malaysia telah menerima jemputan rasmi untuk menyertai Ekspo Dunia Riyadh 2030.
“Keputusan akan dibawa ke Kabinet. Menariknya, 25 syarikat Malaysia berminat untuk terlibat dalam pembinaan dan perkhidmatan di ekspo tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

