Mini MAHA Pahang 2025 sasar jualan RM1.2 juta

Wan Rosdy menanam durian duri hitam selepas merasmikan program Moh Kendurian di Ladang Kampung Mahkota Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA), di sini pada Rabu. Foto Sinar Harian
Wan Rosdy menanam durian duri hitam selepas merasmikan program Moh Kendurian di Ladang Kampung Mahkota Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA), di sini pada Rabu. Foto Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN - Program Mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) Pahang 2025 yang bakal berlangsung dari 14 hingga 17 Ogos ini di Dataran Temerloh menarik lebih 50,000 pengunjung dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM1.2 juta.

Program anjuran kerajaan Pahang dengan kerjasama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) negeri melibatkan 100 usahawan tempatan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program bertemakan Agro Gemilang Negeri Terbilang itu merupakan platform strategik untuk mempromosi sektor agromakanan negeri termasuk penggunaan teknologi terkini dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan.

Menurutnya, inisiatif kerajaan ini juga dalam usaha memperkukuhkan keterjaminan makanan segera.

"Objektif utama program ini ialah mengukuhkan jaringan pemain industri dalam memberi galakan kerjasama antara petani, peladang, penternak, nelayan, usahawan, agensi kerajaan, syarikat swasta dan institusi penyelidikan.

"Di samping memberi pendedahan dan menarik minat generasi muda menceburi sektor pertanian dengan menampilkan pertanian sebagai industri moden dan berprestasi tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita merasmikan program Moh Kendurian di Ladang Kampung Mahkota Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA), di sini pada Rabu.

Sebanyak 60 acara akan diadakan sepanjang empat hari penganjuran Mini Moh melibatkan lebih 30 jabatan dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, bank serta syarikat swasta.

Antara pengisian utama ialah Pahang Berselawat, Forum Perdana, dan Kenduri Buah yang akan diadakan pada 16 Ogos dengan agihan buah-buahan termasuk durian secara percuma kepada 500 pengunjung terawal.

Artikel Berkaitan:

Turut menjadi tarikan ialah pelancaran produk Pahang Best, jualan Beras Pahang, pertandingan memancing baung ekor merah dan memancing atas bot, serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah seperti motosikal Modenas, barangan elektrik dan peralatan pertanian.

Program ini juga menampilkan pelbagai aktiviti keluarga seperti pameran lembu sado, lembu Wagyu dan kerbau balau, pertandingan kucing, petting zoo, tunggangan kuda, uji rasa daging Wagyu serta klinik veterinar.

Selain itu, jualan produk industri asas tani turut disediakan dengan penyertaan usahawan tempatan dari pelbagai latar belakang dan sektor pertanian.

Ditanya sama ada Mini MAHA Pahang itu akan dijadikan program tahunan, beliau memaklumkan perkara itu akan diputuskan kemudian.

"Kalau MAHA peringkat Kebangsaan diadakan tahun itu, maka kita mungkin tidak buatlah (Mini MAHA).

"Untuk Mini MAHA tahun ini, kerajaan negeri akan melancarkan dan mengadakan jualan 'Beras Pahang' untuk pengunjung yang hadir sepanjang program berlangsung," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy, program ini diharap dapat memberi impak ekonomi secara langsung kepada usahawan tani, vendor makanan, pengusaha produk tempatan dan penggiat industri asas tani, selain menyumbang kepada pelancongan domestik.

“Diharapkan juga program ini mampu menjadi pemangkin kepada lonjakan baharu dalam sektor agromakanan negeri serta mengukuhkan peranan Pahang sebagai negeri pengeluar makanan utama negara, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program tersebut bersama keluarga dan komuniti setempat dalam suasana penuh harmoni dan sejahtera.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!