Lelaki dijel 20 tahun, denda RM9 juta tipu skim FCPO

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dihukum penjara 20 tahun dan denda RM9 juta oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis, atas sembilan pertuduhan menipu pelabur melalui skim pelaburan minyak sawit mentah niaga hadapan (FCPO) tidak wujud, serta satu kes menjalankan aktiviti perdagangan tanpa lesen, pada tahun 2013 dan 2014.
Mohd Azhidi Laili dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah dalam prosiding yang ditetapkan untuk perbicaraan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas Azhidi bermula dari tarikh ikat jamin ditarik balik, iaitu 21 Mei tahun lalu.
Beliau juga dikehendaki menjalani hukuman penjara selama 27 bulan bagi semua pertuduhan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan kenyataan media oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), lelaki itu didakwa membuat representasi palsu sebagai pedagang niaga hadapan di ibu negara, antara Mei 2013 hingga Mac 2014.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 206(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Mengikut fakta kes, tertuduh telah memperdaya sembilan mangsa melalui skim pelaburan palsu FCPO bernilai RM1.45 juta, kononnya di bawah AmFutures Sdn Bhd, sedangkan skim itu tidak wujud.
Dalam pada itu, Azhidi juga dihukum penjara dua tahun atas satu pertuduhan membuat representasi sebagai wakil AmFutures tanpa dilesenkan atau berdaftar untuk berurusan dalam derivatif, suatu aktiviti yang dikawal selia oleh SC, mengikut Seksyen 59(1) CMSA.
Pada 14 Februari 2022, Azhidi mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut.
Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan bermula dari Februari 2023 hingga Mac lalu.
Tertuduh sebelum ini dibenarkan diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin, termasuk syarat tambahan menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC sekali setiap bulan.
Bagaimanapun, ikat jamin tersebut dibatalkan pada 21 Mei 2024, selepas beliau gagal hadir ke mahkamah untuk dua sebutan kes, selain tidak melaporkan diri seperti diarahkan.
Dalam prosiding tersebut, tujuh mangsa dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SC, Mohd Izuddin Mohamad bersama beberapa pegawai pendakwa: Quek Yiing Huey, Raihana Nadhira Rafidi, Eunice Ong Jo Xing, dan Mark Rohan Mahadevan.
Tertuduh diwakili oleh peguam Al-Sabri Haji Ahmad Kabri.
Sementara itu, dalam kenyataan media, SC menyatakan bahawa keputusan mahkamah ini mencerminkan keseriusan kesalahan serta kesannya terhadap integriti pasaran modal.
SC turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan menyemak kesahihan tawaran pelaburan dengan menggunakan Investment Checker di laman rasmi mereka: www.sc.com.my/investment-checker.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

