DGP pacu produktiviti, menjana negara berpendapatan tinggi

Dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif, daya saing syarikat bukan lagi sekadar soal teknologi atau modal semata mata, tetapi ia berkait rapat dengan kualiti dan produktiviti tenaga kerja.
Berpandukan hakikat ini, Dasar Gaji Progresif (DGP) yang diperkenalkan kerajaan menjadi satu strategi penting untuk memperkukuh pasaran buruh Malaysia melalui prinsip utama: ‘Gaji Progesif, Masa Depan Positif’.
Di bawah DGP, kenaikan gaji pekerja tidak berlaku secara sembarangan atau sekadar memenuhi desakan sosial.
Sebaliknya, ia disandarkan kepada peningkatan tahap kemahiran dan latihan pekerja yang boleh diukur secara nyata.
Konsep timbal balik ini memastikan hubungan yang adil dan seimbang antara majikan dan pekerja yang mana setiap kenaikan gaji disertai dengan nilai tambah dibawa oleh pekerja kepada syarikat.
Kenaikan gaji sebagai pelaburan produktiviti
Ramai majikan melihat kenaikan gaji sebagai kos tambahan yang membebankan. Namun, melalui kerangka DGP yang diperkenalkan oleh kerajaan, kenaikan gaji harus dilihat sebagai pelaburan strategik yang membawa pulangan dalam bentuk produktiviti lebih tinggi, kecekapan operasi dan peningkatan daya saing syarikat.
Apabila pekerja dibekalkan dengan latihan, peningkatan kemahiran dan laluan kerjaya yang jelas, mereka bukan sahaja menjadi lebih mahir, tetapi juga lebih bermotivasi serta setia kepada syarikat.
Produktiviti pekerja digunakan untuk mengukur tahap kecekapan pekerja dan dikira sebagai nilai output yang dihasilkan.
Peningkatan ini diterjemahkan kepada penjimatan kos, pengeluaran dan kualiti produk atau perkhidmatan yang lebih baik.
Maka, pelaburan dalam gaji dan latihan pekerja bukan sekadar kos, malah ia adalah modal yang memperkukuh asas operasi syarikat.
Keuntungan bersama: Syarikat lebih mampan, pekerja lebih sejahtera

Dasar ini turut menyediakan insentif tunai daripada kerajaan kepada majikan yang menyertai DGP, bagi mengurangkan kesan kewangan jangka pendek dalam menaikkan gaji.
Insentif ini disertai dengan pra syarat yang mana pekerja perlu menjalani latihan minimum 21 jam latihan atau memiliki sijil Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu setiap tahun bagi memastikan setiap pelaburan yang dibuat oleh syarikat memberikan pulangan yang nyata.
Lebih daripada itu, syarikat yang menyertai DGP berpotensi membina reputasi sebagai majikan progresif, sekali gus menjadi majikan pilihan dalam pasaran buruh.
Dalam era bakat berkualiti menjadi rebutan, menawarkan gaji kompetitif yang disandarkan kepada kemahiran adalah strategi terbaik untuk menarik dan mengekalkan pekerja berpotensi tinggi.
Dari sudut makro, DGP adalah antara kunci untuk membawa ekonomi Malaysia maju ke rantaian nilai lebih tinggi, menjadikan kita bukan sahaja pengguna teknologi, tetapi pencipta nilai baharu dalam pelbagai sektor.
Majikan yang melabur dalam modal insan menyumbang secara langsung kepada pembinaan ekonomi berasaskan produktiviti tinggi, sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani dan wawasan negara berpendapatan tinggi.
Kenaikan gaji adalah langkah maju, bukan beban
DGP memberi isyarat jelas bahawa masa depan ekonomi negara terletak pada tenaga kerja yang kompeten dan diberi ganjaran setimpal.
Untuk majikan, ini adalah peluang pelaburan bagi syarikat kerana setiap sen yang dibelanjakan untuk peningkatan kemahiran pekerja, akan kembali sebagai keuntungan dalam bentuk produktiviti, inovasi serta daya tahan syarikat dalam menghadapi cabaran masa depan.
‘Gaji Progresif, Masa Depan Positif’ bukan sekadar slogan, tetapi janji kepada pekerja dan majikan bahawa setiap usaha memperbaiki gaji adalah pelaburan masa depan.
Pekerja yang dihargai akan lebih produktif, cekap dan setia.
Majikan pula berpeluang menikmati peningkatan daya saing dan prestasi syarikat.
Apabila kedua-dua pihak berkembang bersama, ekonomi negara turut melonjak ke tahap yang lebih tinggi. Kini, waktunya untuk melangkah ke hadapan.
Daftar dan ketahui lebih lanjut di: www.gajiprogresif.gov.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
