Tarif Trump: Negara mana paling terjejas, siapa pula untung?

WASHINGTON – Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melaksanakan gelombang baharu tarif ke atas hampir semua rakan dagang dijangka mengecilkan saiz ekonomi dunia berbanding potensi sebenar, selain meningkatkan ketegangan hubungan antara Washington dengan sekutu dan negara pesaingnya.
Langkah itu yang berkuat kuasa 7 Ogos lalu, menyaksikan tarif AS dinaikkan ke paras tertinggi sejak pelaksanaan Akta Smoot-Hawley pada 1930 yang pernah memperdalam dan memanjangkan kemelesetan.
Pentadbiran Trump mempertahankan strategi tersebut dengan mendakwa hasil kutipan tarif menjadi sumber baharu untuk menampung kos pengurangan cukai yang diluluskan Kongres pada Jun lalu.
Mereka turut memetik janji pelaburan baharu daripada syarikat dan negara yang dikatakan mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan di AS.
Menurut anggaran Bloomberg Economics, langkah itu akan melonjakkan purata kadar tarif AS kepada 15.2 peratus berbanding hanya 2.3 peratus pada 2024, sekali gus menjadikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global AS$2 trilion (RM8.5 trilion) lebih rendah menjelang akhir 2027.
Antara negara yang paling terjejas ialah India, apabila barangan eksportnya dikenakan tarif 'timbal balas' 25 peratus, lebih tinggi daripada beberapa negara Asia Tenggara yang bersaing mengisi kekosongan bekalan dari China ke pasaran AS.
Trump turut mengugut menambah 25 peratus lagi tarif terhadap India kerana pembelian minyak Rusia, yang jika dilaksanakan pada hujung Ogos ini, akan melonjakkan kadar tarif kepada 50 peratus dan berisiko menjejaskan 60 peratus eksport India ke AS.
Switzerland juga berdepan nasib sama apabila dikenakan tarif 39 peratus bagi barangan seperti jam tangan dan coklat, walaupun beberapa eksport utama seperti farmaseutikal dan emas dikecualikan.
Bagaimanapun, terdapat syarikat besar yang mendapat manfaat daripada pengecualian tarif. Apple misalnya, berjaya mengecualikan produk seperti iPhone dan komputer riba daripada senarai tarif baharu selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook, mengumumkan pelaburan AS$600 billion (RM2.54 trillion) di AS dalam tempoh empat tahun akan datang.
Syarikat teknologi Korea Selatan, Samsung Electronics, turut meraih manfaat dengan sektor teknologi secara keseluruhan mengelak lebih AS$7 bilion (RM 29.68 billion) tarif hanya dalam tempoh dua bulan.
Walaupun eksport China ke AS merosot, negara itu dilihat berjaya mencari pasaran alternatif, sekali gus berpotensi menjadi penerima manfaat jangka panjang jika tindakan AS mengasingkan diri secara perdagangan mendorong negara lain melihat Beijing sebagai rakan ekonomi lebih stabil.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

