Malaysia #QuranHour 2025: 'Merdeka Dengan Rasa' tekan pendekatan 'Ahassa'

Fazrul ketika Taklimat Sinergi Media sempena Malaysia #QuranHour 2025 di Studio My #QuranTime (MQT), di sini pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Fazrul ketika Taklimat Sinergi Media sempena Malaysia #QuranHour 2025 di Studio My #QuranTime (MQT), di sini pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Tema 'Merdeka Dengan Rasa' yang diperkenalkan menerusi penganjuran Malaysia #QuranHour 2025 turut menitikberatkan pendekatan 'Ahassa' iaitu empati dalam setiap tindakan.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, terdapat keperluan untuk memupuk sifat empati dalam diri setiap masyarakat berpandukan kisah para Hawariyyun dan realiti penderitaan daripada Surah al-Balad.

Menurut beliau, tema yang dipilih juga dianggap nafas baharu kepada gerakan menjadikan al-Quran sebagai panduan memerdekakan manusia daripada penindasan sesama insan.

"Merdeka Dengan Rasa diangkat menjadi tema Malaysia #QuranHour 2025 kerana kita melihat kempen di peringkat kebangsaan adalah untuk santuni rakyat. Kita yakin bahawa kemerdekaan tahun ini perlu diisi dengan kesantunan dan muhibah.

"Itulah asas kepada setiap individu dan kita perlu merasai keperitaan dialami insan lain agar kita sama-sama boleh merdeka serta menikmati hasil mahsul negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Taklimat Sinergi Media sempena Malaysia #QuranHour 2025 di Studio My #QuranTime (MQT) di sini pada Jumaat.

Malaysia #QuranHour 2025 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini dan bersiaran langsung dari lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.

Fazrul menambah, Surah Ali'Imran ayat 52 turut menceritakan tentang Nabi Isa AS yang merasakan terdapat unsur kekufuran atau tidak bersyukur, menyebabkan manusia enggan menghargai orang susah di sekelilingnya.

"Maka itu yang diceritakan dan dalam Surah al-Saff pula, kita mesti bersatu untuk berjuang memastikan bahawa sensitiviti setiap individu yang merasai keperitan adalah perjuangan setiap lapisan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Bukannya sekadar tuding-menuding atau menyalahkan antara satu sama lain kerana ia bukan erti kemerdekaan sebenar," ujar beliau.

Misi #ResetRasa yang dibawa merupakan satu bentuk seruan kepada masyarakat agar kembali menyemak arah perjuangan dan sensitiviti terhadap penderitaan di sekeliling misalnya melalui surah al-Saff ayat 14, memperlihatkan peranan empat golongan utama iaitu pemimpin, pembina dasar, penjawat awam serta rakyat dalam membantu membentuk saf kukuh dengan rasa, sabar dan kasih sayang.

Kempen Malaysia #QuranHour 2025 disokong oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar rasmi, diikuti penyertaan sinergi media seperti Sinar Harian, Astro AWANI, Astro OASIS, TV Alhijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia FM (IKIM FM) dan TV IKIM, TV9, Bernama, Media Prima Berhad, Nu Ideaktiv, Zayan FM, Denaihati Network serta Santai Travel.

Malaysia #QuranHour 2025 juga dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mendapat kerjasama pelbagai organisasi termasuk Sekretariat Merdeka, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam (MPAM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Rumah Ngaji dan Sahabah al-Quran dalam serta luar negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!