Lelaki bunuh pekerja Bangladesh dihukum gantung

Mohamad Amier Amzar dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh pekerja warga Bangladesh pada tahun 2018.
Mohamad Amier Amzar dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh pekerja warga Bangladesh pada tahun 2018.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh seorang pekerja warga Bangladesh, tujuh tahun lalu.

Hakim Su Tiang Joo menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Amier Amzar Mohamad Aspar, 28, selepas didapati bersalah membunuh Md Ovaidul, 32.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh mangsa di Sungai Kinta, kawasan Sungai Galah, Kampung Gajah, antara jam 8.20 malam hingga 10.25 malam pada 15 Disember 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Dalam penghakiman di akhir pembelaan, Tiang Joo berkata, kematian mangsa bukanlah secara tiba-tiba, sebaliknya dirancang terlebih dahulu.

"Mangsa diperlakukan dengan cara yang amat kejam yang kemungkinan besar menyebabkan mangsa menanggung kesakitan dan penderitaan dalam tempoh yang panjang.

"Ia bermula dengan dipukul di rumahnya, kemudian dibawa ke tebing sungai sebelum dikelar lehernya, dan mayatnya dibuang ke dalam sungai bagi menghapuskan bukti.

"Saya menerima hujahan pihak pendakwaan bahawa hukuman mati adalah wajar, dan saya menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh mengikut Seksyen 277 Kanun Tatacara Jenayah agar dihukum gantung sampai mati," katanya.

Pada prosiding itu, abang mangsa, Md Hossain Khan, 37, tampil memberikan penyataan impak yang dibacakan jurubahasa di hadapan hakim.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, meskipun jenazah adiknya telah dihantar pulang ke Bangladesh, ia bukanlah penawar kepada kesedihan dan kehilangan yang ditanggung.

"Sebelum kejadian, adik saya memberitahu bahawa dia bercadang untuk pulang ke Bangladesh dalam masa sebulan bagi melangsungkan perkahwinannya.

"Keluarga kami telah mula membuat persiapan di kampung. Namun, impian tersebut musnah apabila dia telah dibunuh secara kejam, dan lebih menyedihkan, dibunuh oleh anak kepada majikannya sendiri.

"Adik saya tidak mati kerana sakit, tidak mati kerana kemalangan, tetapi mati kerana dibunuh secara kejam oleh orang yang sepatutnya melindunginya sebagai majikan," katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Geetha Jora Singh, manakala tertuduh diwakili peguam V Santhiran.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 6 Januari 2020, seramai 24 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri telah memberi keterangan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa mayat seorang lelaki dengan keadaan sebelah kaki diikat pada sebuah motosikal ditemui oleh orang awam di dalam Sungai Kinta pada 18 Disember 2018.

Siasatan mendapati terdapat kesan kelar pada leher serta dua kesan luka di belakang kepala mangsa.

Motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap mangsa, apabila suspek memaklumkan kepada isterinya bahawa dia keluar makan bersama mangsa pada hari kejadian, namun mangsa menafikan perkara itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!