AKPS gagalkan kemasukan terancang 26 warga Bangladesh di KLIA1

SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesan cubaan 26 warga Bangladesh yang disyaki menggunakan laluan kemasukan yang telah disusun atur secara terancang dengan bantuan pihak tertentu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) di sini pada Selasa.
AKPS dalam kenyataan berkata, kesemua individu itu tiba awal pagi Selasa melalui dua penerbangan dari Dhaka.
“Berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh, kumpulan itu menggunakan dua buah penerbangan dan laluan kemasukan mereka dipercayai telah disusun atur secara terancang dengan bantuan pihak tertentu.
“Setibanya di pintu ketibaan antarabangsa KLIA1, kesemua mereka dipintas oleh Pasukan Pemantau AKPS sebaik sahaja keluar dari pesawat dan terus diiring ke Pejabat Operasi AKPS KLIA1 untuk proses semakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mereka tidak memenuhi syarat untuk memasuki Malaysia dan cuba memasuki negara ini menggunakan alasan yang meragukan.
“Pihak AKPS KLIA kemudian mengambil langkah tegas dengan mengeluarkan arahan untuk kesemua mereka dihantar pulang ke negara asal pada penerbangan seterusnya,” katanya.
Katanya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara Unit Risikan dan Pasukan Pemantau AKPS KLIA1 dalam mengekang kemasukan pelawat berisiko tinggi yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam negara.
“AKPS menegaskan bahawa tindakan tegas seperti ini akan diteruskan sebagai sebahagian daripada komitmen memperkukuh kawalan sempadan negara, khususnya di pintu masuk utama seperti KLIA,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
