ASEAN buktikan keupayaan jadi platform penyelesaian krisis – Mohamad

CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] ASEAN bukan sekadar simbol kerjasama serantau, sebaliknya terbukti sebagai platform berkesan dalam menyelesaikan krisis dan memupuk keamanan di Asia Tenggara.
Berucap sempena sambutan Hari ASEAN ke-58, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan mengimbau kembali sejarah penubuhan ASEAN pada 1967 ketika dunia dilanda persaingan kuasa besar dan negara-negara baharu merdeka di rantau ini berdepan kerentanan.
“Lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand mengambil langkah berani berhimpun di Bangkok berikrar mengemudi cabaran dunia bersama.
"ASEAN lahir dalam dunia yang rapuh pasca perang, sebagai satu eksperimen berani untuk membawa damai dan kerjasama,” katanya di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, sejak itu ASEAN berkembang menjadi organisasi unik dengan kepelbagaian yang menjadi penanda aras baharu dalam tadbir urus global.
"Malaysia sentiasa menempatkan ASEAN sebagai teras diplomasi luar negara melalui semangat konsensus dan matlamat bersama demi Asia Tenggara yang inklusif serta lestari," katanya.
Menjelang pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045, Mohamad menegaskan pelan hala tuju 20 tahun itu akan membentuk rantau yang lebih berdaya tahan, inovatif dan berpusatkan rakyat.
Beliau turut menekankan usaha berterusan ASEAN menangani isu Myanmar melalui pendekatan berprinsip dan praktikal, termasuk penglibatan kemanusiaan, advokasi gencatan senjata yang diperluas serta cadangan pelantikan utusan khas tetap bagi menangani krisis berpanjangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

