Guthrie raih untung RM1.07 bilion, segmen huluan lonjak dua kali ganda

SD Guthrie Berhad (Guthrie) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.07 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan 71 peratus berbanding tempoh sama bagi tahun sebelumnya.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, melangkah ke separuh kedua tahun kewangan 2025 (FY2025), keadaan persekitaran ekonomi dan operasi global masih lagi tidak menentu serta sukar diramalkan.
“Kemajuan dan peningkatan berterusan yang dicapai menerusi inisiatif kecemerlangan operasi, segmen pembangunan perindustrian baharu serta tenaga boleh diperbaharui akan membantu Guthrie untuk terus bersedia menghadapi cabaran-cabaran pada masa hadapan.

“Saya gembira dengan perkembangan Guthrie setakat ini. Saya percaya pendekatan berdisiplin yang sedang kami laksanakan akan memacu hasil yang boleh diukur seterusnya memberikan nilai jangka panjang serta mampan kepada para pemegang saham,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, peningkatan prestasi tersebut membuktikan keberkesanan strategi mampan dan pelaksanaan berdisiplin yang terus mengutamakan kecemerlangan operasi.
“Walaupun momentum segmen perniagaan teras kami semakin meningkat, namun tumpuan kepada strategi dan inisiatif pertumbuhan baharu akan tetap kami teruskan serta perluaskan lagi.
“Guthrie komited dalam memastikan semua usaha sama pembangunan di kawasan tanah kami dipacu strategi yang berkesan dengan mengambil kira potensi pembangunan kawasan tersebut, selain impak kepada masyarakat sekitar,” ujarnya.
Tambahnya, pendekatan berkenaan sejajar dengan aspirasi pembangunan cabang perniagaan baharu yang menyokong agenda pembangunan nasional.
“Memorandum persefahaman terkini bersama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) untuk membangunkan Hab Keterjaminan Makanan dan Teknologi Pendidikan di Pulau Carey juga antara salah satu contoh utama komitmen tersebut.
“Bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi di Pulau Carey, tetapi untuk memastikan masyarakat sedia ada dan kekayaan warisan terus dilindungi. Guthrie menghargai peluang untuk bersama dalam pembangunan yang begitu bermakna itu,” kongsinya.
Untuk rekod, Guthrie mencatatkan kenaikan untung bersih sebanyak 22 peratus iaitu RM505 juta untuk suku kedua FY2025 berbanding RM415 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Prestasi kukuh Guthrie terus mencerminkan ketahanan operasinya, khususnya dalam segmen huluan syarikat yang merekodkan peningkatan keuntungan sehingga dua kali ganda bagi separuh pertama FY2025.
Dalam tempoh tersebut, segmen huluan mendapat manfaat daripada harga purata minyak sawit mentah dan isirong sawit yang meningkat sebanyak 3 peratus dan 50 peratus iaitu RM4,146 dan RM3,247 setiap tan metrik berbanding tahun terdahulu untuk tempoh yang sama.
Pada masa sama, pengeluaran tandan buah segar syarikat juga meningkat sebanyak 4 peratus berikutan pengeluaran lebih tinggi oleh setiap segmen huluan.
SD Guthrie International (SDGI) yang merupakan segmen hiliran syarikat mencatatkan penurunan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak 44 peratus iaitu RM126 juta daripada RM225 juta pada suku kedua FY2025 berbanding tahun terdahulu berikutan landskap perniagaan yang mencabar.
Operasi SDGI di seluruh rantau Asia Pasifik dan Eropah turut dipengaruhi oleh permintaan dan margin yang lebih rendah.
Walau bagaimanapun, prestasi memberangsangkan dicapai di rantau Oceania yang mencatatkan keuntungan operasi yang membanggakan melalui volum dan margin jualan lebih tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

